Skip to main content

Posts

Showing posts from July, 2018

Polis Hantar Kertas Siasatan Musa Aman Ke Pejabat Peguam Negara

Kertas siasatan telah hampir siap dan telah dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara berhubung kes laporan polis yang membabitkan bekas Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman. Walaubagaimanapun menurut Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Ramli Din memberitahu bahawa terdapat sedikit tambahan percakapan perlu direkodkan untuk melengkapkan kertas siasatan itu. "Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun telah mengeluarkan beberapa kenyataan berhubung perkara itu dan setakat ini sahaja maklumat yang kita ada pada masa ini," katanya ketika ditemui selepas Majlis Serah Tugas Jawatan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu di Kota Kinabalu hari ini. Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin dikatakan telah membuat laporan polis pada 14 Mei yang lepas terhadap Musa dipercayai berhubung ugutan jenayah selepas upacara angkat sumpah jawatan ketua menteri. Percakapan Juhar turut diambil sebaik laporan polis dibuat dan kes tersebut telah disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakuk...

Isu Sirul, Australia Tak Berganjak, Malaysia Belum Fail Ekstradisi.

Julie Bishop yang merupakan Menteri Luar Australia memberitahu bahawa kedudukan negaranya berhubung isu Sirul Azhar Umar yang merupakan orang buruan Malaysia mengenai soal prinsip kerana ia melibatkan hukuman mati. "Kedudukan Australia adalah satu perkara prinsip - kes-kes ekstradisi mengambil kira sama ada hukuman mati akan dikenakan di negara yang memohon (perintah itu) atau tidak," katanya pada sidang akhbar selepas bertemu dengan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di Parlimen hari ini. Bishop memberitahu bahawa beliau telah berbincang tentang hasrat Malaysia yang mempertimbangkan untuk memansuhkan hukuman mati dan beliau turut menyatakan sokongan kuat bagi pemansuhan hukuman mati tersbeut. "Kami berada dalam majlis hak asasi manusia (PBB) sekarang dan penghapusan hukuman mati menjadi tunjang advokasi (prinsip) itu," katanya dan Malaysia masih belum menfailkan ekstradisi. Walaubagaimanapun menurut Bishop telah memaklumkan baha...

Singapura Tidak Berminat Kaji Semula Perjanjian Harga Air

Singapura hari ini memberitahu bahawa mereka tidak berminat untuk mengkaji semula harga air di bawah perjanjian yang telah ditandatangani dengan Malaysia pada tahun 1962. Malah menurut Kementerian Hal Ehwal Luar Republik memberitahu dalam kenyataannya bahawa kajian tersebut sepatutnya dilakukan pada tahun 1987 iaitu 20 tahun selepas perjanjian tersebut ditandatangani seperti mana yang telah termaktub di dalam perjanjian yang dibuat. "Kedudukan ini dinyatakan dalam kenyataan Parlimen oleh Menteri Hal Ehwal Luar DR Vivian Balakrishnan pada 9 Julai 2018," menurut kementerian itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan bersempena lawatan rasmi Menteri Luar Malaysia, Datuk Saifuddin Abdullah ke Singapura. Menerusi temuramahnya bersama Bernama pada Isnin yang lalu, Saifuddin memberitahu bahawa beliau telah pun menggariskan fakta bahawa kemungkinan ada kajian semula yang akan dilakukan seperti yang dinyatakan dalam perjanjian. "Terdapat klausa dalam perjanjian itu meng...

Saya Mahu Tanding, Ada Kerusi Kosong - Anwar Ibrahim

"Saya mahu kembali menjadi wakil rakyat", kata ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berseloroh ketika memberikan ceramah pada malam tadi. “Ada kosong di Sungai Kandis, ada kosong di Balakong dan ada kosong di parlimen sebab saya mahu bertanding,” katanya yang berucap dalam keadaan beranduh. Melalui ceramahnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) pada malam tadi beliau tidak menyebut sama sekali tentang kerusi khusus parlimen yang dibangkitkan olehnya itu. Walaubagaimanapun terdapat segelintir media yang meramalkan bahawa ucapan beliau itu merupakan salah satu petanda bahawa akan terdapat pilihan raya parlimen bagi memberikan laluan kepada Anwar untuk kembali ke Dewan Rakyat. Anwar dikatakan mengeluarkan kenyataan tersebut adalah bagi menegaskan akan kepentingan Sungai Kandis kepada Pakatan Harapan walaupun gabungan tersebut dikatakan telah pun mempunyai majoriti yang banyak di selangor. Malah pada tahun 2008 juga dikatakan Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Ism...

Barisan Nasional Dan PAS Tak Jujur Berkempen Di Sungai Kandis - Khir Toyo

Dr Mohamad Khir Toyo yang merupakan bekas menteri besar Selangor memberitahu bahawa parti Barisan Nasional serta PAS berlaku tidak jujur dalam kempen mereka pada pilihan raya kecil ini. Menurut laporan Sinar Harian, Khir memberitahu bahawa disebabkan hal tersebutlah yang menyebabkan suasana prejudis antara penyokong parti masing-masing yang bakal diterjemahkan kepada undi untuk Pakatan Harapan (HARAPAN). "BN dan Pas tidak jujur dalam kempen di sini, menyebabkan suasana prejudis antara pendukung parti masing-masing dan ini akan diterjemahkan undi kepada calon Pakatan Harapan. "BN dan Pas masih gagal membentuk satu blok pembangkang yang mampu menjadi alternatif kepada HARAPAN," katanya dalam satu kenyataan pada semalam. Bagi Khir peluang BN untuk menang dalam PRK Sungai Kandis amat tipis sekali kerana isu-isu yang diketengahkan oleh BN masih tidak mampu mengubah pendirian pengundi di kawasan ini. "Pengundi masih lagi merasakan kerajaan HARAPAN mampu mengu...

Tentera Israel Tahan Wartawan Wanita Palestin

Baitulmaqdis, Palestin - Israel telah didakwa oleh Pergerakan Hamas selepas didapati dengan sengaja menyasarkan wartawan Palestin bagi membendung laporan pelanggaran hak asasi manusia terhadap orang awam di wilayah yang dikepung. Kenyataan tersebut telah dikeluarkan oleh Hamas sehari selepas pihak berkuasa Israel telah menahan empat orang wartawan Palestin dari bandar Ramallah, Tebing Barat yang diduduki. "Tindakan Israel menahan wartawan tersebut adalah bukti bahawa mereka bimbang jika kekejaman dan penderitaan rakyat Palestin terus-terusan dibongkarkan ke dunia luar,"katanya. Walaubagaimanapun tindakan agresif terhadap wartawan Palestin tersebut tidak akan mampu menyembunyikan realiti yang berlaku dalam konflik Israel - Palestin. Oleh itu, hamas menyeru supaya komuniti antarabangsa untuk menegakkan keadilan serta mempertahankan wartawan Palestin bagi menjamin kebebasan mereka. Menurut sumber, pihak berkuasa Israel telah menceroboh rumah wartawan Alaa Al-Rimawi,...

Mahathir Menangis Tidak Mampu Meneruskan Ucapan, Mahu Umat Islam Kembali Kepada Al-Quran.

Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menceritakan satu peristiwa ketika pertemuan khas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bersama tokoh ulama dan cendekiawan Islam hari ini, yang membuatkannya "merasa sebak". Ia adalah ketika Mahathir menangis ketika mengatakan keperluan untuk umat Islam kembali kepada al-Quran sebagai rujukan utama. "Semasa Tun Mahathir mengucapkan 'kita sudah tiada jalan lain untuk menjadi umat Islam yang berjaya melainkan kena baca al-Quran', beliau menangis dan tidak mampu lagi meneruskan ucapan. "Saya juga rasa sebak. Semoga Allah merahmati Tun (Mahathir)," katanya di Instagram. Asri mengiringi kata-kata itu dengan gambarnya bersama Mahathir ketika pertemuan itu. Menurut Bernama, sejumlah 37 tokoh ulama dan cendekiawan Islam mengadakan pertemuan khas kira-kira dua jam bersama Mahathir di Jabatan Perdana Menteri hari ini. Antara yang hadir, selain Asri, adalah Penasihat Umum AMANAH Ahmad Awang, pensyarah Universiti Oxford United ...

Kenyataan Pimpinan Pakatan Harapan Menimbulkan Rasa Kurang Senang - Anwar Ibrahim

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui pimpinan kerajaan Pakatan Harapan kadang-kala tidak berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan sehingga menimbulkan rasa kurang senang sesetengah pihak. “Saya tidak menafikan ada kenyataan yang melelahkan dan tidak menyenangkan. "Saya akui PH (Pakatan Harapan) adalah kerajaan baru yang kadang-kala cuai dan celupar sehingga saya terkejut dengan kenyataan dikeluarkan,” katanya ketika ceramah khas sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, malam tadi. Meskipun tidak menghuraikan lebih lanjut, Anwar dipercayai merujuk beberapa isu kontroversi dan kenyataan pemimpin kerajaan yang dilihat menimbulkan keresahan sejak kebelakangan ini. Antaranya membabitkan isu bahasa kebangsaan sebagai bahasa rasmi, pengiktirafan kepada Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dan keputusan Kementerian Pendidikan memberikan peruntukan kepada sekolah menengah persendirian Cina (SMPC). Bagaimanapun, Anwar berkata beliau percaya P...

Barang Kemas Rosmah Tiada Pengikraran Import, Boleh Dirampas

Tiada sebarang pengikraran import dibuat kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berkaitan penghantaran 44 barang kemas yang dikaitkan dengan isteri bekas perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng. “Melalui semakan ke atas rekod yang ada di bawah sistem maklumat kastam bagi tempoh tujuh tahun selaras dengan tempoh penyimpanan rekod, didapati tiada pengikraran import dibuat ke atas barangan tersebut,” katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong bagi kementeriannya pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini. Menurut Lim, ia merupakan satu kesalahan sekiranya tiada pengikraran import dibuat dan boleh dikenakan tindakan termasuk rampasan. “Sekiranya siasatan polis tidak dapat mengaitkan konsainan tersebut dengan apa-apa kesalahan, pihak kastam boleh mengaitkan isu ini di bawah Akta Kastam 1967 kerana ia merupakan satu kesalahan dan mengundang pelbagai tindakan termasuk rampasan,” katanya. Pada 1...

Video: Bapa Tiri Pukul Kerana Handphone Tular

Tular di media sosial video seorang kanak-kanak yang menangis semahunya kerana dipercayai telah menjadi mangsa dera bapa tiri serta ibunya sendiri. Video yang berdurasi satu minit 16 saat tersebut telah dirakamkan oleh bapa kandung kanak-kanak tersebut yang kemudiannya telah memuat naik video tersebut di media sosial facebook. Melalui kapsyen yang di muat naik oleh bapa kanak-kanak tersebut yang dikenali sebagai Aris, memberitahu bahawa anaknya itu terus menangis serta memeluknya selepas masuk sahaja ke dalam keretanya. Merujuk kepada video tersebut kelihatan Aris yang menangis sambil ditanya oleh ayahnya mengapa dia menangis dan Aris memberitahu kepada bapanya bahawa papa tirinya selalu memukulnya dengan menggunakan rotan. Malah ketika ditanya jika Aris ada melakukan kesalahan malah Aris memberitahu bahawa dia tidak melakukan apa-apa kesalahan tetapi sering dipukul dengan menggunakan rotan oleh bapa tirinya malah puinca dia dirotan juga ada membabitkan adik-adiknya. Bukan...

Video: Pasangan Kantoi Khalwat Dimandikan Air Longkang

Rakaman video pasangan berkenaan dimandikan dengan air longkang berwarna hitam pekat, tular di media sosial  dan menurut keterangan bersama rakaman itu, kejadian dikatakan berlaku pada Sabtu lalu. Dalam kejadian itu penduduk di Langsa, Aceh,Indonesia bertindak memandikan satu pasangan dengan air longkang selepas mengesyaki mereka berkhalwat. “Mandi junub ya. Mandi junub,” jerit seorang lelaki dalam rakaman berkenaan dengan orang ramai yang mengelilingi mereka bersorak. Menurut laporan media Indonesia, lelaki berkenaan dikenali sebagai TSF adalah Pengarah Lembaga Pembangunan Wilayah Aceh manakala pasangan wanitanya dikenali sebagai DK, 30, seorang janda, adalah kakitangan di pejabatnya. Dalam rakaman itu, TSF dan DK duduk berlutut di tepi longkang dan disiram dengan air longkang berulang kali. Media tempatan melaporkan Ketua Jabatan Syariah tempatan, Ibrahim Latif berkata, pasangan itu disyaki melakukan perbuatan tidak bermoral. “Menurut penduduk, TSF sering k...

Tiada Lagi Pangkat Tentera Untuk Orang Politik - Mat Sabu

Kementerian Pertahanan tidak akan meneruskan amalan memberi pangkat tentera kepada ahli politik, kata Menteri Pertahanan Mohamad Sabu. Beliau berkata, ini bagi menghalang ahli politik menyalahgunakan pangkat tersebut untuk masuk ke kem tentera dan membuat kempen politik terutama ketika pilihan raya umum. "Orang politik dianugerahkan pangkat tanpa melalui latihan tentera menimbulkan rasa tidak senang hati (di kalangan tentera). Oleh itu kita hentikan penganugerahan pangkat kepada mereka. "Kita tidak mahu parti politik mendominasi Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Mereka (tentera) boleh pilih mana-mana parti, tapi jangan doktrin mereka untuk pilih parti (tertentu)," katanya ketika ucapan penggulungan titah diraja di Dewan Rakyat hari ini. Sebaik saja dilantik mengetuai kementerian itu, penghentian amalan ini merupakan perkara utama yang dinyatakan presiden AMANAH itu. Mohamad berkata lagi, kerajaan baru tidak boleh meneruskan amalan pentadbiran lalu yang dilihat tidak bet...

Penghawa Dingin Di IPD Rosak, Isteri Pekan Import Intan Dan Berlian "Kepala Bapak Mereka"

Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer menerima amaran akhir daripada Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Nga Kor Ming kerana menggunakan perkataan kesat ketika berucap di Dewan Rakyat, hari ini. Situasi itu berlaku apabila Rayer menggunakan perkataan ‘kepala bapak’ ketika berucap di Dewan Rakyat didakwa dituju kepada pimpinan BN kerana gagal membela kebajikan anggota polis. “IPD Timur Laut merupakan yang terbesar di Pulau Pinang di mana anggota polis menggunakan kipas angin kerana penghawa dingin telah rosak tidak diperbaiki sejak lima tahun lalu kerana tidak ada wang. “Tapi isteri Pekan masih boleh mengimport intan dan berlian masuk ke Malaysia tanpa GST, anggota polis yang kawal keselamatan di Malaysia tidak diberi perhatian, kononnya BN membela anggota polis dan tentera ‘kepala bapak mereka,” kata Rayer ketika bangkit mencelah ucapan pergulungan titah Agong oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Azis Jamman. Kenyataan itu sekali gus menimbulkan ketegangan dan kemarahan pimpinan...

Kerajaan Akan Teruskan Program Mengurangkan Kos Sara Hidup Rakyat - Sivarasa

Kerajaan tidak berhasrat memansuh program bermanfaat yang diperkenalkan kerajaan terdahulu kepada penduduk luar bandar, kata Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, R Sivarasa. Beliau berkata, kesemua program yang telah dilaksanakan akan dikaji semula dan dilakukan penilaian bagi memastikan ia memberi impak kepada rakyat. “Mengkaji semula program bukan bermaksud tidak baik, tetapi kita buat kajian dan penilaian dari semasa ke semasa untuk memastikan apa sahaja program yang dibuat menggunakan duit rakyat akan mencapai sasaran dan memberi manfaat,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini. Beliau menjawab soalan tambahan Tan Sri Noh Omar (BN-Tanjung Karang) yang ingin tahu sama ada kerajaan akan memansuhkan program yang bermanfaat kepada penduduk luar bandar. Sivarasa berkata kementeriannya juga sedang menyediakan Dasar Pembangunan Luar Bandar dalam usaha meningkatkan ekonomi dan mengurangkan kos sara hidup rakyat di luar bandar. “Dasar ini akan dibuat dengan bantu...

Tun M Tidak Akan Datang Di Sungai Kandis Kerana Tindakan Itu Akan Memalukan Dirinya - Lokman

Calon BN Dun Sungai, Datuk Lokman Noor Adam akui gembira apabila nama-nama besar seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim turun ke Dun Sungai Kandis untuk berkempen bagi calon lawannya. Menurut Lokman, ini menunjukkan tanda-tanda positif bahawa lawannya tidak yakin dapat mempertahankan kerusi tradisi PKR itu. “Saya gembira (Anwar turun berkempen) kerana ini tanda-tanda positif bahawa mereka tidak yakin boleh menang. “Ini sebuah Dun yang kecil. Tidak sepatutnya nama-nama besar seperti Tun Mahathir, Datuk Seri Anwar akan turun. "Tapi percayalah cakap saya, Tun Mahathir tidak akan datang kerana tindakan itu akan memalukan dirinya sendiri,” katanya kepada pemberita di Pejabat UMNO Bahagian Kota Raja, hari ini. Anwar dijadualkan berkempen di Dun Sungai Kandis hari ini, Khamis dan Jumaat bagi membantu calon PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni. Dalam pada itu, Lokman berharap sokongan ahli Pas terhadapnya akan membantu menurunkan majoriti undi PKR. “Alhamdulillah ini (Zawawi yakin dapat majoriti 1...

“Menteri Pertahanan Pun Kartun" Mat Sabu Cabar Najib Kalau Berani Cakap Dalam Dewanla.

Tumbuk bawah pusat dan tidak budiman - itu tanggapan Menteri Pertahanan Mohamad Sabu terhadap komen Datuk Seri Najib Razak yang mempersendakannya baru-baru ini. Ditemui media di parlimen hari ini Mohamad berkata sebagai seorang anggota parlimen bekas perdana menteri itu sepatutnya membuat kenyataan itu di dalam Dewan Rakyat. Disebabkan kritikan tersebut dibuat di luar, Mohamad berkata, beliau tidak akan melayannya. “Komen di luar saya tak mahu jawablah... saya nak jawab (kalau) komen dalam parlimen. "Kalau komen di luar, itu orang kata tumbuk di bawah pusatlah (pengecut). Macam tu tak gentleman-lah... marilah komen dalam ni,” katanya mencabar. Anggota parlimen Kota Raja yang mesra disapa Mat Sabu itu berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Najib mempertikaikan kemampuannya menjadi menteri pertahanan. Kata Najib presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) itu dilihat lebih seperti bahan lawak sejak dilantik ke jawatan itu melalui pembentukan kabinet Pakatan Hara...

"Kenapa Perlu Memfitnah Saya" - Zawawi Buat Laporan Polis.

SHAH ALAM - Calon PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni membuat dua laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang berhubung tindakan fitnah yang dilakukan oleh pihak tertentu menjelang hari pengundian PRK Dun Sungai Kandis, Sabtu ini. Menurut Mohd Zawawi, laporan tersebut dibuat bertujuan bagi membolehkan tindakan diambil terhadap pihak terlibat yang cuba untuk memburuk-burukkan dan menjatuhkan reputasi beliau sebagai calon. "Laporan pertama saya adalah berkenaan kes video yang kononnya saya bersetuju dan menyokong tarian gelek sewaktu kutipan Tabung Harapan baru-baru ini. "Dan laporan kedua pula membabitkan dakwaan saya telah menyalahguna kuasa dan wang sewaktu bertugas di Sekolah Agama Menengah Sultan Hisamuddin Sungai Bertih pada tahun 2008," katanya selepas membuat laporan tersebut. Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Mohd Zawawi berkata, pihaknya hanya mengetahui mengenai perkara itu selepas ia mula tersebar melalui media sosial sejak beberapa hari lalu. Mohd Zawawi b...

Isu Gua Musang, Sivarasa Akan Jumpa JAKOA

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, R Sivarasa akan bertemu Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) hari ini berhubung sekatan antara Orang Asli dan pekerja syarikat yang mengusahakan ladang durian musang king di Gua Musang, Kelantan. Sivarasa berkata, JAKOA perlu menyediakan laporan terperinci berhubung isu berkenaan, khususnya mengenai dakwaan pekerja syarikat membuat sekatan balas hingga penduduk Orang Asli tidak dapat keluar daripada Kampung Kaleg, Pos Tohoi di Gua Musang. "Saya akan minta laporan serta merta dan berbincang dengan semua pihak yang terbabit dalam perkara ini, termasuklah Kementerian Dalam Negeri yang bertanggungjawab dalam isu keselamatan serta kerajaan Kelantan. "Kami akan berusaha untuk mendapatkan penyelesaian secepat mungkin yang adil kepada semua pihak. "Namun, konflik tanah ini adalah amat rumit dan tidak boleh diselesaikan dalam sehari kerana sudah berlarutan sejak sekian lama dan isu pokoknya perlu diselesaikan iaitu sempadan tanah adat,...

Ini Bukan Mengenai Diplomatik Tapi Mengenai Nama Negara Dihina. - TMJ

Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menggesa Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman supaya memandang serius terhadap tindakan melampau penyokong Indonesia yang menghina negara ini pada Kejuaraan Bawah 16 (B-16) AFF 2018 di Surabaya. Dalam satu kenyataan menerusi laman Johor Southern Tigers, Tunku Ismail yang juga pemilik Johor Darul Ta'zim serta bekas Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia, menegaskan penghormatan terhadap nama negara seharusnya menjadi keutamaan meskipun terpaksa mengambil keputusan yang sukar demi kebaikan. "Saya faham Menteri Belia dan Sukan yang sentiasa memikirkan diplomatik untuk bertindak. "Ini bukan mengenai diplomatik tapi mengenai nama negara yang dihina. Mana yang lebih penting, untuk menjadi popular atau untuk berjaya? "Sebagai seorang ketua, kadangkala kita tidak boleh asyik nak menjaga hati semua pihak. Kadang-kadang kita perlu lakukan keputusan yang sukar orang nak terima tapi untuk kebaikan negar...

Kerajaan Tiada Kaitan Masukkan Elemen Pengganas Komunis Dalam Buku Teks

Kerajaan tidak mempu­nyai kaitan dengan cada­ngan pihak tertentu untuk memasukkan elemen perjuangan pengganas komunis dalam buku teks Sejarah di sekolah. Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, cada­ngan tersebut juga belum dikaji oleh kerajaan. “Kita belum kaji lagi. Saya tidak tahu, ada orang lain yang cadangkan, bukan kita (kerajaan),” katanya dalam sidang akhbar di lobi Parlimen hari ini. Semalam, aktivis, Fadiah Nadwa Fikri menyuarakan gesaan un­tuk menilai semula buku teks Sejarah dan memasukkan fakta mengenai perjuangan kemerdekaan golo­ngan berhaluan kiri termasuk Parti Komunis Malaya (PKM). Ketika bercakap sebagai ahli pa­nel dalam forum bertajuk Perlukah Kita Menulis Semula Buku Sejarah? Fadiah Nadwa berkata, perjuangan puak berhaluan kiri tersebut me­rupakan fakta yang tidak dimasukkan dalam buku teks sedia ada walaupun golongan berke­naan didakwa turut sama berjuang untuk kemerdekaan negara. Dalam pada itu Dr. Mahathir ber­kata, sekiranya cadangan itu dilaksana...

Penyokong Indonesia Hina Malaysia, 'Malaysia Itu Anjing'

Belum pun reda dengan insiden serangan balingan botol ke atas skuad Bawah 19 tahun (B-19), penyokong Indonesia seakan tidak serik apabila terus melakukan provokasi melampau kepada skuad bola sepak negara. Kali ini, giliran skuad B-16 pula menjadi mangsa apabila 'didendangkan' dengan sorakan yang menghina dan kesat pada aksi Kejuaraan B-16 Persekutuan Bolasepak Asia Tenggara (AFF) 2018 di Stadium Joko Samudro, Surabaya, malam tadi. Meskipun aksi membabitkan Malaysia bertemu Thailand, namun penyokong Indonesia nyata lebih berkobar-kobar untuk memberi 'sokongan' apabila melaungkan 'Malaysia itu anjing' dan juga 'Amirul itu anjing' pada perlawanan itu. Provokasi itu dilihat berpunca susulan pemain muda negara, Amirul Ashrafiq Hanifah yang dituduh menghina bendera Indonesia apabila meletakkan bendera terbalik dalam Instagram Story miliknya ketika membuat ucapan ringkas sebelum berlepas ke Surabaya. Namun, Amirul sudah menyatakan permohonan maaf secara terb...

Jiran Penggal Nenek, Kepala Dibuang Ke Sungai

BANJARMASIN: Seorang warga emas di Desa Bararawa, Banjarmasin, Indonesia dipenggal dan kepalanya dibuang ke dalam sungai oleh jiran yang berdendam dengan anak mangsa. Dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 7 malam waktu tempatan pada Ahad, mangsa Lahbaniah, 67, dibunuh dengan pedang samurai. Suspek Lahmudin, 26, dilapor memecah masuk rumah nenek malang itu untuk mencari anak mangsa ekoran sengketa di antara mereka berdua, lapor banjarhits.id. Namun apabila sasarannya tidak ditemukan, suspek bertindak memenggal mangsa yang ketika itu sedang menonton televisyen. Suspek kemudian menjinjing kepala mangsa dan membuangnya di sungai berdekatan. Penduduk yang mengetahui kejadian itu bertindak mengikat mangsa sebelum menyerahkannya kepada polis. Polis masih menyiasat motif kejadian. - Astro AWANI

Video: Suami, Isteri Diserang Lelaki Mabuk Di Jinjang Utara Tular

KUALA LUMPUR: Hanya kerana teguran bunyi bising motosikal ditunggang, tiga individu termasuk seorang wanita terbabit dalam pergaduhan di Rumah Panjang Jinjang Utara, di sini, semalam. Dalam kejadian jam 6.30 petang itu, seorang wanita berusia 26 tahun bersama suaminya, 20-an, menaiki dua motosikal berasingan iaitu Yamaha Lagenda dan Honda EX5 ke rumah ibu saudaranya bagi mengambil dua anak mereka. Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner R Munusamy berkata, ketika mangsa dan suaminya melalui kawasan bekas tapak permainan di lokasi berkenaan, mereka terlihat sekumpulan lelaki sedang mabuk dan dua lagi individu menaiki motosikal yang membuat bising. "Kedua-dua lelaki berkenaan dilihat membuat provokasi terhadap mangsa dengan menaiki motosikal Yamaha 125Z sambil mendatangkan bunyi ekzos yang kuat. "Mangsa yang tidak puas hati dengan tindakan dua lelaki berkenaan bertindak menegur mereka, namun kedua-dua lelaki berkenaan kemudian memaki dengan kata-kata kesat serta...

Isu SST, Kita Tunggu Dan Lihat Apa Yang Bakal Berlaku,

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menegaskan pemansuhan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) akan memberi kesan serius terhadap aliran tunai kerajaan. Ahli Parlimen Pekan itu berkata, pendapatan negara akan menyusut selepas Pakatan Harapan (PH) mengambil alih tampuk kerajaan dengan memansuhkan GST dan menggantikan rejim percukaian itu dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST). Dengan pelaksanaan SST, Najib mendakwa kerajaan bakal kehilangan pendapatan sehingga RM44 bilion. "Itu adalah komitmen kerajaan PH. Mereka janji akan laksanakan SST pada 1 September ini, maka rakyat akan tunggu. "Pelaksanaan cukai itu akan memberi implikasi seriusterhadap pendapatan negara khususnya membabitkan kehilangan dalam lingkungan RM43 bilion hingga RM44 bilion. "Justeru, kerajaan perlu mencari cara mengganti semula pendapatan (yang hilang), jika tidak aliran tunai kerajaan akan menerima impak yang serius," katanya kepada media di lobi Parlimen, hari ini. Najib berkat...

Jamal Kekal Di Penjara Sungai Buloh.

Mahkamah Majistret Ampang di sini, hari ini masing-masing menarik balik perintah ikat jamin terhadap Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos bagi dua pertuduhan menceroboh dua premis perjudian di Taman Kosas, di sini, dua tahun lalu. Majistret Muhamad Firdaus Sadina Ali dan Haslinda A. Raof membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Nurhashimah Hashim dan Raihanah Abd Razak untuk menarik balik jaminan masing-masing berjumlah RM3,000 dengan seorang penjamin. Pihak pendakwaan memohon perintah ikat jamin itu ditarik balik kerana khuatir Jamal akan melarikan diri sekali lagi. Berikutan itu, mahkamah membatalkan jaminan terhadap Jamal bagi kedua-dua kes ceroboh itu dan bagi kes melarikan diri dari hospital, perintah tidak membenarkan Jamal diikat jamin dikekalkan. Dengan keputusan ini, Jamal, yang hadir ke mahkamah berpakaian kot lengkap dan bersongkok dengan tangan bergari ke belakang serta diiringi anggota polis, kekal ditahan di P...

Tun Mahathir Beri Lampu Hijau Ambil Pemain Naturalisasi.

Tun Dr Mahathir Mohamad memberi indikasi positif susulan cadangan mengambil pemain naturalisasi bagi skuad bola sepak kebangsaan. Perdana Menteri bagaimanapun menegaskan, inisiatif itu tidak harus mengabaikan pemain tempatan. “Sekarang semua pasukan bola sepak mengambil pemain daripada mana-mana negara sebab itu, kita nampak banyak orang putih yang hitam. “Jadi, kalau kita ambil (pemain naturalisasi) tidak apalah, tetapi, jangan kita ambil 11 orang itu datang dari negara lain. Kita (bakat tempatan) kena main sama,” ujar beliau pada sidang media di lobi Parlimen, di sini hari ini. Sebelum ini, Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohamad Amin mengakui cadangan mengambil pemain dari luar negara yang diberikan kerakyatan merupakan antara salah satu mekanisme dalam usaha menambah baik prestasi skuad kebangsaan. Idea tersebut bagaimanapun masih di peringkat awal dan banyak usaha perlu dilakukan jika ingin membawa masuk pemain berstatus naturalisasi ke dalam pasukan ...

Mengenai Sirul, Tun Mahathir Mahu Tahu Pendirian Australia.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata pertemuannya dengan Menteri Luar Australia Julie Bishop, yang dijadual minggu ini, tidak akan secara khusus berbincang mengenai ekstradisi bekas Unit Tindakan Khas (UTK) Sirul Azhar Umar. Sebaliknya, Dr Mahathir berkata beliau hanya mahu mengetahui pendirian Australia mengenai isu tersebut. “Saya mahu mengetahui apa pendirian Australia mengenai perkara ini,” katanya pada sidang medianya di lobi parlimen hari ini. Dr Mahathir berkata demikian ketika ditanya rangka pertemuannya dengan Julie. Bishop sedang dalam rangka lawatan ke Timor-Leste, Malaysia, Singapura dan Indonesia bermula semalam hingga 7 Ogos depan. Lawatan itu dilapor bagi mengukuhkan hubungan negara itu dengan jiran-jirannya di Asia Tenggara. Pada 8 Jun lalu, Dr Mahathir berkata kerajaan tidak membuat permohonan agar Sirul yang disabitkan kesalahan membunuh diserah balik kepada negara ini. Beliau berkata, bekas anggota polis yang disabitkan kesalahan dan dijatuhi hukuman m...

Tarik Balik Saman Fitnah, Najib Kena Bayar RM30,000

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak menarik balik saman fitnahnya terhadap Anggota Parlimen Damansara, Tony Pua. Saman itu sebelum ini difailkan Najib berhubung kenyataan Pua mengenai pembentangan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Jenayah) 1965 (Akta 355). Hakim Mohd Zaki Abdul Wahab berkata penarikan balik itu tidak akan menjejaskan Pua, walaupun anggota parlimen DAP itu dibenarkan mencabar injunksi sementara di Mahkamah Persekutuan. "Mahkamah ini mempunyai kebijaksanaan untuk membuat keputusan apabila plaintif memohon untuk menarik balik saman. "Di sini, permohonan plaintif adalah tanpa kebebasan untuk memfailkan semula saman itu. Saya membenarkan penarikan balik saman ini tanpa kebebasan untuk memfailkan semula," katanya. Zaki juga mengarahkan Najib membayar kos sebanyak RM30,000 kepada Pua dalam tempoh dua minggu. Awal bulan ini Najib dilaporkan mahu menarik balik saman itu, yang kedua difa...

Sivarasa Bebas Dari Tuduhan Menghasut.

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar R Sivarasa dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan menghasut yang dikenakan ke atasnya tiga tahun lalu. Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Dr Gan Chee Keong membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Faizah Ismail memberitahu mahkamah Pejabat Peguam Negara menerima surat bantahan daripada defendan. Sivarasa yang juga anggota parlimen Sungai Buloh didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 berikutan ucapannya semasa himpunan Kita Lawan pada 2015. Dalam ucapan itu Sivarasa didakwa mengkitik badan perundangan berhubung hukuman penjara yang dikenakan ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim. Dia kemudian didakwa pada 20 Okt 2015. Sementara itu ditemui Malaysiakini selepas itu Sivarasa berkata dakwaan yang dikenakan terhadapnya bermotifkan politik. "Saya tidak melakukan apa-apa jenayah dan bersyukur dengan pengguguran dakwaan ini," katanya. Menurut Sivarasa lagi di bawah kerajaan baru Pakatan Harapan ne...

SPR Arah Turun Bunting ‘Dah mansuh GST 6%, Muncul Pula Cukai Baru 16%’, Di Sungai Kandis

Datuk Lokman Noor Adam hari ini mendakwa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bersikap pilih kasih terhadap BN apabila mengarahkan bunting mereka diturunkan kerana dianggap menimbulkan perasaan tidak selesa. Kata calon BN itu ada bunting mereka juga sudah dicantas pagi tadi. “Dia (SPR) kata bunting sebegini tidak boleh digunakan sebab akan menimbulkan perasaan tidak selesa pada pihak lain dan mohon diturunkan. Ini maklum balas SPR. Apa yang tidak selesa? “Jika kita lihat dalam pilihan raya lepas, apa bunting yang dipampangkan oleh Pakatan Harapan (HARAPAN)? "Jika anda mahu GST (Cukai Barang dan Perkhidmatan) dihapuskan, undilah Pakatan Harapan. “Jadi, kenapa mereka boleh gunakan perkataan ini dan kenapa sekarang kita gunakan perkataan yang hampir sama, SPR kata tidak selesa pula,” katanya. Lokman berkata demikian kepada pemberita pada program ziarah kasih di Taman Setia, Klang. Pagi tadi, Malaysiakini difahamkan antara bunting yang diarahkan turun oleh SPR antaranya ber...

Remaja Mengaku Tidak Bersalah Cabul Budak Berusia 12 Tahun.

KOTA BHARU - Seorang remaja berusia 18 tahun tidak mengaku salah di mahkamah sesyen, hari ini atas dakwaan mencabul seorang kanak-kanak berusia 12 tahun. Dakwaan terhadap remaja berkenaan dibuat di hadapan Hakim, Ahmad Bazli Bahruddin. Tertuduh didakwa mencabul mangsa yang berusia 12 tahun dua bulan di Taman Perumahan Desa Kemumin, Pengkalan Chepa, pada jam 8.30 malam, 20 April lalu. Tuduhan dibuat Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Siti Hajar Alias, manakala tertuduh diwakili peguam, Alias Ibrahim. Tertuduh dibenarkan jamin RM15,000 dengan seorang penjamin. Kes ditetapkan untuk 13 Ogos depan. - Sinar Harian

Raja-Raja Melayu Tubuhkan Jawatankuasa Tertinggi Institusi Hal Ehwal Islam Peringkat Persekutuan

Raja-Raja Melayu berkenan menubuhkan Jawatankuasa Tertinggi Institusi Hal Ehwal Islam Peringkat Persekutuan yang dianggotai lima tokoh pentadbir, agama dan akademik, dalam usaha menambah baik semua institusi Islam peringkat Persekutuan di negara ini. Jawatankuasa Tertinggi itu dianggotai lima ahli yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, dengan persetujuan Raja-Raja Melayu, manakala Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dilantik sebagai urus setianya. Ia dipengerusikan bekas Ketua Setiausaha Negara, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid dan Timbalannya, Datuk Dr Afifi al-Akiti yang juga Felo di Oxford Centre for Islamic Studies. Manakala keahlian jawatankuasa itu terdiri daripada Profesor Tan Sri Dr Mohd Kamal Hassan daripada Universiti Islam Antarabangsa (UIA); bekas Mufti Johor, Datuk Nooh Gadot dan bekas Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz. Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dalam kenyataannya, berkata keputusan penu...

Rogol Pelancong Belanda Di Pulau Perhentian, Dua Lelaki Ditahan.

POLIS menahan dua lelaki berusia 30 dan 45 tahun yang disyaki terbabit dalam kes rogol seorang pelancong asing di Pulau Perhentian, Ahad lalu. Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail berkata, lelaki tempatan itu yang bekerja di sebuah kafe di pulau itu ditangkap selepas menerima maklumat orang ramai berhubung kes rogol seorang pelancong asing. Beliau berkata, kejadian kira-kira jam 8 malam pada 11 Julai lalu dipercayai berlaku apabila mangsa seorang wanita warga Belanda berusia 22 tahun didatangi dua lelaki tidak dikenali ketika berkhemah di pantai berhampiran kincir angin di Pulau Perhentian Kecil. Katanya, dua lelaki berkenaan kemudian dikatakan bertindak menarik mangsa keluar daripada khemah. Beliau berkata, suspek kemudian bertindak mengikat tangan mangsa dan merogolnya sebelum kedua-duanya melarikan diri. Aidi berkata, selepas kejadian mangsa turut mendapati barangan miliknya termasuk telefon bimbit, wang tunai RM250 dan sebuah dompet kulit hilang. “Hasil soal siasat, kedua-du...

Barisan Nasional Kehabisan Modal Politik, Mainkan Sentimen Kaum Dan Agama - Sivarasa

KLANG - BN didakwa kehabisan modal politik apabila memainkan sentimen kaum dan agama serta janji manifesto kerajaan PH, dalam kempennya di PRK Sungai Kandis. Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, R Sivarasa berkata, semua isu itu bagaimanapun tidak akan menggugat PH untuk menang dengan majoriti selesa di Dun berkenaan 4 Ogos ini. Katanya, rakyat hari ini bijak menilai dalam menangkis isu-isu berkaitan yang dirasakan tidak munasabah. "Rakyat berfikiran waras dan mereka tahu, belum sampai 100 hari pun (PH) memerintah dan kita ada lima tahun untuk kotakan janji-janji ini." "Takkan orang rasa semua (janji) kena dibuat hari ini. Jadi taktik begitu macam taktik terdesak oleh Umno dan ia tidak akan 'termakan' oleh pengundi." "Pengundi tahu, kita ada satu penggal untuk sampaikan semua janji kita dan mereka sudah lihat banyak pengumuman penting telah dibuat perdana menteri dan Kabinet." "Saya rasa isu tempatan memang mereka tahu dan kita ada janji kita...

Gambar Cium Tular, Punca Jurugambar Dipecat

Jurugambar terkemuka Bangladesh, hari ini berkata beliau menjadi mangsa 'kezaliman tidak diingini' selepas dipecat berhubung imej pasangan bercium yang menimbulkan kekecohan media sosial di negara itu. Portal berita Purboposhchimbd melaporkan, Jibon Ahmed 'tidak layak' untuk bekerja di syarikat berkenaan kerana keraguan sama ada imej bercium cuma lakonan. Ahmed membantah dan mempertahankan diri, menegaskan beliau mempunyai bukti imej itu spontan dan berkata beliau dikritik jurugambar lain kerana imej berkenaan. Dalam kenyataan di Facebook, Ahmed berkata beliau 'didedahkan kepada kezaliman tidak diingini' disebabkan gambar 'berpengaruh' itu. "Saya tidak percaya dengan satu petikan akan menghasilkan banyak kisah. "Hari ini, disebabkan gambar itu media sosial dan media perdana dibanjiri dengan berita palsu dan benar mengenai saya," katanya. Pasangan itu dirakam bercium dalam musim hujan di tangga kampus Universiti Dhaka. Beliau menyiarkann...

Lelaki Menyama Wanita Jual Ubat Besar Payudara Perdaya Gadis Sebelum Rogol Mangsa.

Seorang lelaki yang terlibat beberapa kes rogol selepas memperdaya gadis menerusi laman sosial Wechat berjaya ditahan polis di sebuah pusat membeli belah di Perai, di Bukit Mertajam semalam. Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata lelaki berusia 37 tahun itu ditahan pada pukul 2 petang dipercayai ketika sedang menunggu seorang lagi mangsa yang dikenalinya menerusi Wechat. "Hasil maklumat dan bantuan orang awam, polis berjaya menahan lelaki itu dan merampas sebuah telefon bimbit yang digunakannya untuk memperdaya gadis-gadis dengan mendakwa menjual ubat membesarkan payudara. "Suspek juga menerusi Wechatnya menyamar sebagai wanita dan akan menyuruh pembeli yang membeli ubatnya menghantar gambar payudara untuk melihat sama ada terdapat perubahan selepas memakan ubat tersebut," katanya di Bukit Mertajam hari ini. Beliau berkata selepas itu lelaki berkenaan akan memaksa pembelinya datang ke pusat membeli belah tersebut dan ji...

Siti Nur Iesmawida Mangsa Gempa Bumi Di Lombok,

Siti Nur Iesmawida Ismail, 30 rakyat Malaysia yang terkorban dalam gempa bumi di Lombok, Indonesia hari ini disifatkan sebagai satu kehilangan kepada warga belia berkemahiran di Malaysia. Ketua Penerangan Majlis Belia Malaysia Mohamad Rizan Hassan berkata, Siti Nur Iesmawida merupakan pejuang yang mempunyai hati yang cukup ikhlas dalam membantu memberikan peluang kedua kepada golongan muda yang tercicir akademik dan berisiko. "Kehilangan besar ini sesuatu yang akan ditangisi dan diratapi oleh mereka yang telah di bantu oleh beliau untuk mendapatkan sebuah kehidupan yang bermakna dengan mendorong kumpulan sasar tersebut memilih bidang teknikal dan vokasional (TVET) sebagai pilihan kedua untuk berjaya. "Beliau adalah salah seorang kakitangan yang berdedikasi di Miraj Academy, Ampang dan juga merupakan Sukarelawan Belia Berkemahiran di MBM, kata Mohamad Riza Siti Nur Iesmawida terkorban ketika mendaki Gunung Rajini akibat gempa bumi berukuran 6.4 pada skala Richter yang meland...

Gembala Buat Lapor Polis, Kambingnya Digilir 8 Lelaki.

Gambar Hiasan Seorang penggembala di Haryana, India membuat laporan polis selepas mendakwa kambing peliharaannya 'dirogol' lapan orang lelaki. Aslu, membuat laporan itu pada Khamis lalu. Memetik laporan agensi ANI, berikutan tindakan tidak berperikemanusiaan dan luar tabiie itu, menyebabkan kambing peliharaannya itu mati. Dalam pada itu, Pegawai Polis, Rajbir Sigh, polis telah menubuhkan satu pasukan siasatan bagi mengesan kesemua suspek. Kes disiasat mengikut seksyen di bawah Akta Pencegahan Kekejaman terhadap haiwan. Tindakan kejam itu turut dikecam aktivis hak asasi haiwan susulan peningkatan kes kekejaman seumpama itu kebelakangan ini. Malah, kata aktivis, tindakan kekejaman terhadap haiwan biasanya menjadi permulaan kepada mana-mana pesalah yang kemudian akan melakukan perkara sama kepada manusia. - Astro AWANI

Kantoi Guna IC Palsu Yang Dipakai Sejak 37 Tahun Dan Siap Kahwin Wanita Tempatan.

Tindakan berani seorang warga Indonesia cuba menukar kad pengenalan palsu miliknya kepada kad pengenalan berprestasi tinggi (MyKad) di pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), di sini, kelmarin, memakan diri apabila ditahan atas kesalahan memiliki kad pengenalan palsu. Lelaki berusia 64 tahun itu memiliki kad pengenalan terbabit sejak hampir 30 tahun lalu, sebelum dia ditahan di pejabat jabatan berkenaan. Difahamkan, suspek berasal dari Bengkalis, Indonesia memasuki negara ini sejak 1981. Ketua Bahagian Penguatkuasaan JPN negeri, Mohd Nasrom Yusof, berkata siasatan awal mendapati suspek membeli kad pengenalan palsu itu di Jasin daripada rakannya pada 1990. "Kad pengenalan berkenaan dibeli pada harga RM500 pada 1990 dan juga digunakan oleh suspek untuk bernikah dengan wanita tempatan pada 2005. "Siasatan turut mendapati, suspek tidak pernah menggunakan kad pengenalan palsu itu untuk kegunaan lain, selain bernikah," katanya ketika dihubungi hari ini. Mohd Nasrom berkata...

Sultan Ibrahim Lawat Anwar Ibrahim Di Turki

SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar berkenan mencemar duli melawat Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim di Hospital Medipol, Istanbul, Turki. Anwar yang menjalani pembedahan tulang belakang dan bahu kanan baru-baru ini berada di Istanbul bagi mendapatkan pengesahan daripada doktor tentang tahap kemajuan kesihatannya ketika menerima kunjungan daripada Sultan Ibrahim. Junjung kasih atas kesudian DYMM Sultan Johor untuk menziarahi saya di Hospital Medipol Istanbul. Saya ke hospital semalam untuk mendapatkan pengesahan daripada doktor tentang tahap kemajuan kesihatan saya. “Sukacita dimaklumkan panel doktor berpuas hati dengan tahap kemajuan kesihatan dan mengizinkan saya berlepas pulang ke tanah air. “Baginda Tuanku Sultan Ibrahim sempat diperkenalkan kepada panel doktor dan mengucapkan terima kasih di atas rawatan baik yg diberikan kepada saya,” kata Anwar menerusi akaun Facebook miliknya pada Sabtu. Beliau sebelum ini mengalami 'lumbar central stenosis...