Seorang wanita di China dilaporkan kehilangan kira-kira 140,000 pengikut media sosial hanya dalam tempoh beberapa jam selepas filter wajah yang digunakan ketika siaran langsung tiba-tiba terputus. Wanita terbabit sebelum ini dipercayai sering tampil dengan wajah kelihatan muda ketika bersiaran secara langsung dan didakwa menggoda penonton lelaki bagi menarik perhatian serta mendapatkan hadiah dan wang daripada pengikutnya. Namun ketika sedang membuat siaran langsung, filter wajah yang digunakan secara tidak sengaja terpadam sehingga memperlihatkan rupa sebenar wanita tersebut yang dipercayai jauh lebih berusia daripada imej dipaparkan sebelum ini. Insiden itu segera tular di media sosial dan mengundang pelbagai reaksi netizen. Ramai pengikut dilaporkan berhenti mengikuti akaunnya kerana berasa tertipu dengan penampilan yang dipamerkan sepanjang ini.