Demikian luahan pilu seorang ibu, Hamidah Othman, 51, selepas anak sulungnya, Zulfiqar Zamir Amirul Nizam, 27, yang sebelum ini parah dirempuh kereta dipandu lelaki mabuk dan melawan arus di Persiaran Kota di sini, meninggal dunia petang tadi selepas 13 hari bertarung nyawa di hospital.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) kira-kira jam 4.28 petang selepas berada dalam keadaan koma sejak hari kejadian.
Hamidah berkata, dia dan ahli keluarga lain dipanggil doktor untuk berkumpul di wad berkenaan kira-kira jam 7.30 pagi selepas keadaan Zulfiqar semakin kritikal dan hanya bergantung kepada mesin bantuan pernafasan.
"Kira-kira jam 4.30 petang, doktor beritahu denyutan nadinya semakin menurun sebelum disahkan meninggal dunia," katanya dalam nada sebak ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik HTAR pada Isnin.
Suasana hiba menyelubungi sekitar pekarangan Jabatan Forensik HTAR apabila sanak saudara Allahyarham dilihat mula hadir untuk tujuan serahan jenazah.
Menurutnya, mereka sekeluarga mahu pemandu mabuk yang menjadi punca tragedi berkenaan dikenakan hukuman setimpal supaya kejadian sama tidak terus meragut nyawa pengguna jalan raya yang tidak bersalah.
"Saya nak pemandu mabuk ni bertanggungjawab, selain keadilan kepada anak saya sebab dia bukan cedera ringan, tetapi sampai meninggal dunia disebabkan perbuatan tidak bertanggungjawab itu.
"Saya minta kerajaan perketatkan lagi undang-undang terhadap pemandu mabuk di jalan raya, jangan bila dah ada kematian baru semua pihak nak ambil serius,” katanya.
Hamidah berkata, sejak dimasukkan ke hospital selepas kemalangan itu, anaknya tidak pernah sedarkan diri dan hanya bergantung sepenuhnya kepada bantuan mesin pernafasan untuk terus hidup.
"Dia koma terus sampai sekarang memang tak sedarkan diri, doktor sebenarnya dah cakap harapan untuk dia sangat tipis, tetapi sebagai ibu saya tetap berharap dan terus berdoa supaya ada keajaiban berlaku.
"Tapi akhirnya saya reda kerana ini semua kuasa ALLAH, cuma sebagai ibu, saya tetap mahukan keadilan buat anak saya yang menjadi mangsa," katanya.
Menurutnya, kehilangan Zulfiqar amat dirasai seluruh keluarga kerana arwah merupakan anak sulung yang banyak memikul tanggungjawab membantu keluarga dan adik-adiknya.
"Dia memang tulang belakang keluarga, adik-adiknya banyak bergantung harap pada dia dan dia juga yang banyak membantu saya selama ini.
"Banyak lagi cita-cita dia belum tercapai, dia nak buka perniagaan sendiri, sambung belajar sampai habis ijazah dan merancang untuk berkahwin, tetapi semuanya terkubur begitu sahaja," katanya.
Sinar Harian pada 18 Mei melaporkan seorang pembantu perancang acara, Low Kean Peng, 35, mengaku tidak bersalah di mahkamah atas pertuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol hingga menyebabkan mangsa parah, kira-kira jam 12.35 pagi, 13 Mei lalu.
Siasatan mendapati pemandu terbabit dalam perjalanan dari Pelabuhan Klang ke Shah Alam sebelum bertindak melawan arus sejauh 3.5 kilometer dan merempuh motosikal ditunggang mangsa sehingga tercampak.
Sementara itu, suasana hiba menyelubungi sekitar pekarangan Jabatan Forensik HTAR apabila sanak saudara Allahyarham dilihat mula hadir untuk tujuan serahan jenazah.
Jenazah Allahyarham difahamkan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Hutan Melintang, Perak esok. - Sinar Harian
.png)