Perbicaraan kes bekas perdana menteri, Najib Razak yang menghadapi 25 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.28 bilion akan bermula 14 Mei ini selama 14 hari. Hakim Collin Lawrence Sequerah menetapkan tarikh berkenaan pada pengurusan kes itu di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur, hari ini. Collin menetapkan 14 hari iaitu 14, 15, dan 17 Mei; 28, 29 dan 31 Mei; 10, 11, 12, 13 dan 14 Jun; serta 18, 20 dan 21 Jun. Tarikh itu ditetapkan selepas peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Najib, 66, memberitahu bahawa tarikh perbicaraan kes berkenaan yang sebelum ini ditetapkan pada 15 April hingga 3 Mei telah diambil alih oleh perbicaraan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd yang turut dihadapi Najib. Harvinder memaklumkan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang mendengar perbicaraan kes SRC itu menetapkan tarikh perbicaraan kes itu bermula pada 3 April dan bersambung pada 15 April sehingga 1...