Skip to main content

Kerana Tiada Wang RM300, Surau Tidak Mahu Uruskan Jenazah Bayi Ini 😭😭😭


HANYA kerana tiada wang membayar kos pengebumian sebanyak RM300 dipinta pengurusan jenazah sebuah surau, seorang bapa hampir tidak dapat menyempurnakan pengebumian bayi lelakinya yang meninggal dunia sejurus dilahirkan di hospital, malam tadi.

Disebabkan itu juga, lelaki bekerja sebagai pembantu gerai makan itu kemudian terpaksa membawa pulang jenazah bayinya ke hospital semula selepas buntu untuk mengebumikan anaknya yang dilahirkan tidak cukup bulan.

Bagaimanapun, lelaki itu bernasib baik apabila seorang aktivis gerakan Amal Team, Mohd Zulhairi Zainol, 34, atau lebih dikenali sebagai Hery membantu urusan berkenaan sehingga selesai termasuk membayar kos pengebumian berkenaan.

Mohd Zulhairi ketika dihubungi berkata, dia membantu lelaki berkenaan selepas wakil sebuah hospital menghubunginya pagi tadi memaklumkan terdapat pasangan suami isteri yang tidak cukup wang bagi mengebumikan jenazah bayi lelaki mereka.

Katanya, ketika bertemu, lelaki itu kemudian memaklumkan hanya mempunyai RM150 bagi mengebumikan jenazah anaknya selepas pihak pengurusan sebuah surau meminta bayaran RM300.

“Ketika saya berjumpa dengannya, lelaki itu pada mulanya bertanya berapa jumlah bayaran yang saya kenakan membuatkan saya terharu dan sedih sebelum menyatakan saya lakukan secara ikhlas tanpa mengenakan bayaran.

“Terus lelaki itu memeluk saya sambil memegang jenazah bayinya dan menangis,” katanya yang turut berkongsi kisah itu di akaun Facebooknya, hari ini.

Mohd Zulhairi berkata, dia kemudian membawa lelaki berkenaan bersama jenazah bayinya ke Tanah Perkuburan Sungai Tangkas di Bangi bagi urusan berkenaan.

Katanya, ketika berbual dengan lelaki itu ketika proses pengebumian, lelaki itu memaklumkan pihak pengurusan surau berkenaan memintanya membawa jenazah pulang semula ke hospital selepas dimaklumkan tidak mempunyai wang mencukupi.

“Lelaki itu menyatakan, ketika itu dia turut membawa jenazah bayinya bagi urusan pengebumian, namun selepas mengetahui wang dipinta tidak mencukupi, pihak pengurusan surau itu kemudian terus memintanya untuk pulang semula ke hospital.

“Saya sebak dan sedih apabila mendengar kisahnya itu sedangkan urusan yang sepatutnya didahulukan adalah urusan pengebumian dan bukan urusan kewangan,” katanya.

Menurut Mohd Zulhairi, dia dimaklumkan bahawa bayi berkenaan meninggal selepas isterinya lelaki itu terjatuh di dalam tandas dan menyebabkan keguguran.

Katanya, dia kemudian mengambil jenazah bayi itu bagi urusan memandi, mengafan dan mengebumikannya.

“Sepanjang itu, hanya RM60 sahaja yang saya keluarkan bagi proses mengali dan mengebumikan mayat bayi lelaki berkenaan.

“Paling saya sedih kerana sebagai orang Islam, urusan pengebumian itu sepatutnya didahulukan dan menjadi kewajipan sesama Islam untuk saling membantu namun itu tidak berlaku," katanya.

Mereka yang ingin membantu operasi gerakan Amal Team boleh melayari akaun FB, Mohd Zulhairi Zainol. - Harian Metro
 



Popular posts from this blog

Video: Pemandu Grab Mengamuk. Suami Maki Isteri Dalam Grab

Video tular memaparkan seorang lelaki warga asing dipercayai memarahi isterinya ketika berada di dalam kenderaan e-hailing Grab sehingga mencetuskan ketegangan dengan pemandu Grab yang turut naik berang. Video rakaman CCTV memaparkan detik pertengkaran antara seorang lelaki warga asing dengan pemandu Grab dipercayai berlaku selepas lelaki tersebut memarahi isterinya di dalam kenderaan e-hailing berkenaan. Rakaman itu turut menunjukkan suasana tegang apabila pemandu Grab bertindak mempertahankan wanita terbabit sebelum berlaku pertikaman lidah antara kedua-dua pihak. Video berkenaan kini tular di media sosial dan mendapat pelbagai reaksi orang ramai. Antara komen orang awam yang tular di media sosial mengenai insiden tersebut ialah ramai yang meluahkan rasa marah terhadap tindakan lelaki berkenaan serta memuji pemandu Grab kerana campur tangan. Sebahagian netizen turut meminta pihak berkuasa mengambil tindakan tegas, manakala ada yang bersimpati terhadap wanita dipercayai menjadi mangs...

1 Maut, 2 Cedera Dalam Insiden Tembakan Di Skudai

Satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan insiden tembakan yang berlaku malam tadi di kawasan Taman Industri Jaya, Skudai sehingga mengakibatkan seorang lelaki maut manakala dua lagi cedera. Menurut kenyataan media yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia, kejadian berlaku sekitar jam 11 malam dan pihak polis menerima maklumat berkaitan insiden tembakan melibatkan mangsa lelaki tempatan berusia 27 tahun. Siasatan awal mendapati kejadian berlaku di hadapan sebuah pusat hiburan di kawasan berkenaan. Seorang mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat terkena tembakan, manakala seorang lagi mangsa mengalami kecederaan. Turut dipercayai terdapat seorang lagi individu cedera namun identitinya masih belum dikenal pasti selepas dibawa keluar dari lokasi oleh kenalannya. Polis kini sedang giat mengesan dua suspek yang masih bebas bagi membantu siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta t...

Konflik dalaman keluarga punca suami kelar isteri, bakar 4 kenderaan di rumah mentua

TANGKAK – Polis mengesahkan bahawa punca seorang suami mengelar isterinya sehingga maut berpunca daripada konflik dalaman keluarga yang dihadapi pasangan tersebut. Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintenden Roslan Mohd Talib berkata, pada mulanya pihak polis menerima laporan berkaitan kejadian kebakaran melibatkan empat buah kenderaan. Bagaimanapun, suspek yang dibawa ke balai polis kemudian memaklumkan bahawa isterinya telah meninggal dunia di kediaman mereka di Bukit Gambir. “Bertindak atas maklumat itu, sepasukan anggota polis telah digerakkan ke rumah suspek dan mendapati isteri suspek telah meninggal dunia dengan kesan kelar pada leher. “Mayat mangsa ditemui dalam keadaan berselubung dan sebilah pisau berlumuran darah yang dipercayai digunakan dalam kejadian turut dijumpai berhampiran wanita tersebut,” katanya ketika dihubungi pada Rabu. Beliau turut memaklumkan bahawa hasil ujian air kencing terhadap suspek didapati negatif daripada sebarang pengaruh dadah. Sebelum ini, katanya, s...