Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Superintendan Wan Mohd Zaki Wan Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung insiden berkenaan pada 10.46 pagi.
Menurutnya, siasatan awal mendapati seorang daripada dua suspek dipercayai berbangsa Melayu memegang sebilah parang ketika meluru masuk ke dalam kedai terbabit.
Beliau berkata, kejadian berlaku dengan pantas tidak sampai satu minit dan ketika kejadian empat pekerja sedang bertugas di dalam kedai berkenaan.
"Suspek berjaya melarikan tiga dulang emas, namun anggaran jumlah kerugian masih belum dapat dipastikan," katanya.
Terdahulu, tular rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi 50 saat milik kedai emas berkenaan yang memaparkan dua lelaki memasuki premis berkenaan sebelum melarikan barangan kemas.
Wan Mohd Zaki berkata, bagaimanapun tiada sebarang kecederaan dialami pekerja di kedai emas terbabit dan kedua suspek dikesan melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta.
Katanya, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu bersama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu sedang berusaha menjejaki suspek terbabit.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan dan pihaknya menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta supaya segera menyalurkannya kepada IPD Kuala Terengganu bagi membantu siasatan," katanya.
