Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 1.15 pagi pada Sabtu dan melibatkan sebuah kereta serta seorang pejalan kaki.
Menurutnya, siasatan awal mendapati pemandu kereta, seorang lelaki berusia 35 tahun dipercayai tertekan pedal minyak menyebabkan kenderaan itu masuk ke ruang makan medan selera sebelum berpusing semula menghala keluar.
“Dalam masa sama, mangsa, seorang wanita berusia 47 tahun, dipercayai berlari ke arah kenderaan berkenaan untuk menghalang atau menghentikannya.
“Bagaimanapun, kereta tersebut melanggar sebatang tiang besi menyebabkan tiang berkenaan terbalik dan terkena kepala mangsa,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Naazron berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan p4rah di kepala oleh petugas kesihatan yang tiba di tempat kejadian.
Beliau berkata, pemandu kereta turut mengalami kecederaan dan dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan serta pengambilan sampel.
“Pemandu berkenaan telah ditahan dan hasil semakan mendapati dia tidak mempunyai sebarang rekod lampau.
“Dia sehingga kini masih menjalani rawatan di hospital,” katanya.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau berbahaya sehingga menyebabkan kem4tian.
“Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak melebihi 10 tahun, denda maksimum RM50,000 serta hilang kelayakan memegang lesen memandu bagi tempoh tidak kurang lima tahun,” katanya.
Beliau berkata, mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi balai polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat Trafik IPD Kajang, Inspektor Mohd Raziman Rasid, di talian 019-456 5502 bagi membantu siasatan.
“Pihak polis menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati, mengamalkan pemanduan berhemah serta mematuhi peraturan lalu lintas demi keselamatan semua pihak,” katanya.
Sinar Harian
