Muhammad Afwan Ibrahim, 27, berkata dia sekeluarga melalui detik cemas apabila gajah berkenaan dikesan sedang makan tebu di sebelah rumahnya.
Beliau berkata, kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu turut menggemparkan penduduk apabila gajah berkenaan dikesan berkeliaran berhampiran kediaman penduduk sebelum bergerak ke kawasan lain.
"Saya dapat panggilan mengenai gajah itu daripada ibu ketika hendak keluar, jadi saya terus berpatah balik ke rumah kerana risaukan keselamatan keluarga. Ketika sampai di pekarangan rumah, gajah itu masih berada berhampiran rumah sebelum bergerak ke bahagian dapur dan memakan tebu yang kami tanam," katanya.
Beliau berkata, keadaan ketika itu agak cemas kerana terdapat bayi berusia tiga bulan iaitu anak saudaranya di dalam rumah.
"Memang takut sebab ada bayi di rumah tetapi gajah itu tidak menunjukkan sebarang tindakan agresif dan mamalia itu hanya makan sebelum bergerak semula ke lokasi lain," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Jeram Hulu, Yusof Muhammad, berkata kehadiran gajah berkenaan bukan sahaja mencetuskan panik, malah menarik perhatian penduduk sehingga kawasan sekitar seolah-olah menjadi 'pesta'.
"Penduduk memenuhi kawasan sekitar kampung kerana mahu melihat kelibat gajah itu dengan lebih dekat. Mungkin sebelum ini kalau mahu tengok gajah, perlu pergi ke Kenyir (pusat konservasi) tetapi kali ini haiwan itu berada di depan mata.
"Lebih mengejutkan apabila gajah itu datang begitu jauh sehingga ke kawasan Manir yang sebelum ini tidak pernah didatangi haiwan ini," katanya.
Tinjauan pada jam 11.30 malam tadi mendapati anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) bersama polis berada di kawasan berkenaan bagi memantau pergerakan gajah terbabit dan mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor, berkata pihaknya menasihati orang ramai tidak melakukan sebarang provokasi terhadap haiwan itu.
"Kami bimbang ia boleh mengancam nyawa dan hindari dari mendekati lokasi dan serahkan tugas pemantauan n kepada pihak PERHILITAN dan polis. Jangan jadikan ia sebagai pesta kerana ia boleh mengancam keselamatan sekiranya gajah itu bertindak agresif," katanya.
