Pempengaruh tempatan, @abangkoroy (Awie MBR) mendakwa diugut oleh seorang lelaki ketika membuat siaran langsung bagi meninjau penempatan warga asing di Kampung Sri Langkas, Puchong.
Dalam rakaman yang tular, lelaki terbabit dilihat mengeluarkan kata-kata berbaur ugutan, antaranya:
"Aku tak heran kau nak viral muka aku. Aku dulu berlakon drama Yusof Haslam lah, beratus drama aku keluar kat TV."
Menurut Awie MBR, suspek turut mengancam untuk mencederakan anggota krunya sekiranya wajahnya ditularkan di media sosial.
Beliau memaklumkan bahawa satu laporan telah dibuat dan kes berkenaan kini dalam tindakan Pegawai Penyiasat Polis (IO).
Menerusi satu hantaran di Facebook, Awie MBR turut mendakwa individu terbabit telah ditahan pihak berkuasa. Bagaimanapun, setakat ini tiada kenyataan rasmi daripada polis berhubung penahanan tersebut.
Terdahulu, kawasan Kampung Sri Langkas yang berada di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) menjadi perhatian netizen selepas timbul dakwaan di media sosial bahawa terdapat individu berpengaruh yang menjadi 'payung' kepada komuniti Rohingya. Dakwaan tersebut masih belum disahkan oleh pihak berkuasa.
