Kejadian berlaku kira-kira jam 4.50 petang di kawasan kebun sawit Jalan Kampung Pelawan apabila sepasukan anggota polis menjalankan rondaan di bawah Ops Sawit sebelum terserempak dengan dua individu dalam keadaan mencurigakan.
Menurut sumber, kedua-dua suspek cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran polis, namun berjaya ditahan selepas tindakan pantas anggota bertugas.
Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua lelaki terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah di lokasi kejadian.
Polis turut merampas beberapa barangan dipercayai digunakan dalam kegiatan mencuri buah sawit, termasuk 11 tandan buah kelapa sawit, sebatang galah sawit bersabit serta dua batang besi untuk kerja memuatkan hasil sawit.
Semakan lanjut mendapati salah seorang daripada suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah, manakala seorang lagi tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.
Kesemua suspek bersama barang rampasan telah dibawa ke Balai Polis Langkap untuk tindakan lanjut.
Kes kini disiasat mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
