KUCHING: Tindakan pantas pasukan trafik berjaya melancarkan semula aliran kenderaan di Jalan Datuk Bandar Mustapha selepas sebuah lori rosak menyebabkan kesesakan, dalam kejadian yang tular di media sosial dengan kapsyen “Biar Jasa Menjadi Kenangan”.
Menurut maklumat, bantuan segera diberikan oleh Team Bravo BSPT Polis Daerah Kuching yang diketuai oleh T55 bagi mengalihkan lori terbabit ke lokasi selamat.
Keadaan itu sebelum ini menyebabkan trafik bergerak perlahan, namun hasil kecekapan pasukan berkenaan, laluan tersebut kembali lancar dalam tempoh singkat.
Orang ramai turut menzahirkan penghargaan atas usaha dan komitmen anggota polis yang bertindak pantas membantu pengguna jalan raya.
Ucapan terima kasih turut ditujukan kepada Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kontinjen Sarawak atas tindakan profesional mereka dalam menguruskan situasi tersebut.
