Lelaki Singapura Tendang BMW


Johor Bahru: Lelaki warga Singapura yang disyaki terbabit dalam kejadian khianat dengan menendang sebuah kereta BMW milik lelaki tempatan di Taman Tun Aminah, Skudai, di sini, ditahan polis, semalam.

Dalam kejadian 2.45 petang kelmarin itu, warga Singapura berusia 40 tahun berkenaan yang memandu Toyota Altis, didakwa beberapa kali membunyikan hon terhadap kereta mangsa dan mendakwa menghalang laluannya.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara (JBU), Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, ia menyebabkan mangsa yang juga rakyat tempatan memberhentikan kereta sebelum pertengkaran mulut berlaku, sebelum suspek yang juga warga Singapura itu menendang keretanya hingga berlaku kerosakan.

"Mangsa yang berusia 31 tahun membuat laporan polis berkaitan kejadian itu jam 3.01 petang semalam.
"Insiden itu turut tular di media sosial dan dikesan menerusi video yang dimuat naik di Facebook.

"Bertindak atas laporan itu, pada 6.20 petang semalam, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah JBU menahan seorang suspek yang disyaki terbabit dalam kejadian ini di sekitar kawasan bandar raya ini selain membuat beberapa rampasan," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Balveer Singh berkata, hasil semakan mendapati, suspek tidak memiliki sebarang rekod jenayah lampau dan keputusan ujian saringan air kencing juga adalah negatif.

"Suspek akan dibawa ke Mahkamah Johor Bahru pagi ini untuk proses permohonan reman.
"Kes disiasat mengikut

Seksyen 426 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan kerana melakukan khianat dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan iaitu perkataan atau isyarat yang dimaksudkan mengaibkan kehormatan seseorang," katanya.

Beliau berkata, polis menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes jenayah supaya menghubungi dan menyalurkan maklumat kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara di talian 07-5563122. Disiarkan pada: Jun 9, 2025 @ 9:46am Artikel : Harian Metro