Trak FRU Bertembung Lori Muatan Batu


Teluk Intan: Angka kematian meningkat sembilan orang, Seorang lagi anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dilaporkan maut dalam kemalangan di Jalan Chikus-Sungai Lampam, di sini, menjadikan angka korban keseluruhan sembilan anggota setakat ini.

Perkembangan itu disahkan Ketua Polis Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal Abidin.
"Lapan anggota maut di lokasi kejadian, seorang lagi disahkan maut di hospital, manakala lima lagi anggota cedera ringan.

"Semua mangsa maut dibawa ke Hospital Teluk Intan untuk dibedah siasat," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Terdahulu, media melaporkan lori FRU dinaiki 15 anggota termasuk pemandu bertembung dengan lori muatan batu di Jalan Chikus -Sungai Lampam di sini, pagi tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Menurutnya, panggilan kejadian itu diterima Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Intan jam 8.54 pagi.
Difahamkan, kenderaan FRU terbabit dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas tugas Op Chariot di Teluk Intan.

Disiarkan pada: May 13, 2025 @ 11:34am
Oleh Muhamad Lokman Khairi
lokman.khairi@hmetro.com.my
Kredit Harian Metro