Ditahan, disyaki cabul kehormatan penuntut universiti



MELAKA: Seorang lelaki warganegara Pakistan ditahan polis selepas disyaki mencabul kehormatan seorang penuntut universiti di Bukit Beruang di sini.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 8.30 pagi Isnin lalu, semasa mangsa berjalan kaki sendirian dari kediamannya di Bukit Beruang menuju ke universiti untuk menghadiri kelas.

Menurutnya, semasa menaiki tangga berdekatan sebuah medan selera, mangsa terserempak suspek yang berjalan dari arah bertentangan.

“Semasa memberi laluan, suspek tiba-tiba memeluk dan mencium pipi mangsa berusia 21 tahun itu menyebabkan dia terkejut dan ketakutan.

“Mangsa cuba melepaskan diri dan berlaku pergelutan hingga menyebabkan dia cedera di lengan,” katanya.

Menurut Christopher, mangsa kemudian membuat laporan kejadian di Balai Polis Ayer Keroh kelmarin.

“Suspek pembantu kedai makan berusia 31 tahun itu bagaimanapun berjaya ditahan bapa mangsa berusia 54 di belakang sebuah restoran di Bukit Beruang, kira-kira 1 pagi, semalam, sebelum diserahkan kepada polis.

“Siasatan awal mendapati lelaki itu yang masih bujang tinggal di tempat sama dan turut memiliki rekod lampau berkaitan kesalahan imigresen,” katanya memaklumkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, gambar suspek turut tular di media sosial sejak pagi tadi berserta keterangan menasihati orang ramai berhati-hati dan menghubungi polis jika terserempak dengannya.