Video: Penunggang Motosikal Maut Digilis Treler


KLANG - Seorang juruteknik maut digilis treler ketika dalam perjalanan ke tempat kerja dekat Jalan Persiaran Hamzah Alang berhadapan sebuah stesen minyak di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, mangsa merupakan lelaki tempatan dari arah Kapar menghala ke Meru.


"Mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda 115Z ketika kejadian cuba memotong sebuah treler sebelum melanggar sebuah basikal di sebelah kiri jalan.

"Pelanggaran mengakibatkan mangsa terjatuh ke atas jalan sebelum digilis treler berkenaan manakala penunggang basikal yang dilanggar mangsa itu turut terjatuh," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Katanya, mangsa berumur 24 tahun kemudiannya disahkan maut di tempat kejadian.

"Penunggang basikal yang merupakan lelaki warga asing berumur 25 tahun bagaimanapun hanya mengalami kecederaan ringan di bahagian kaki kanan.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk proses bedah siasat," katanya.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara, Inspektor Surihan Samsudin di talian 013-2082327," katanya.