Suami Isteri Dalang Penipuan Skim Pelaburan Emas


Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) bersama Pertubuhan Arah Kebajikan Insan (PAKIN) telah menerima 10 aduan daripada mangsa penipuan skim pelaburan saham emas yang ditawarkan sepasang suami isteri.

Setiausaha Agungnya, Datuk Hishamuddin berkata, jumlah kerugian keseluruhan dianggarkan sebanyak RM306,500 sejak Januari sehingga Mac melibatkan skim pelaburan yang ditawarkan pasangan tersebut.

“Sindiket itu masih lagi giat dalam menjalankan pemasaran skim pelaburan saham yang mana ia disyaki tidak sah dan berdaftar dengan mana-mana badan penguatkuasa.

“Mereka menyasarkan golongan warga emas yang mempunyai simpanan persaraan dan ingin menyertai pelaburan bagi keuntungan berganda,” katanya dalam sidang media di Megan Avenue 1, Jalan Tun Razak, di sini hari ini.

Beliau berkata tawaran-tawaran program saham tersebut adalah tidak sah dari segi undang-undang berikutan syarikat itu gagal dan tidak mematuhi undang-undang diperuntukkan kerajaan.

“Lebih menghairankan apabila kesemua wang pelaburan dikutip mangsa akan dimasukkan ke akaun bank milik isteri pasangan terbabit,” katanya.

Salah seorang mangsa, Muhammad Syafiq Mohd. Hatimin berkata, pasangan ini bersembunyi di sebalik badan bukan kerajaan (NGO) yang kononnya melindungi mangsa penipuan.

“Dulu saya seorang ejen insurans dan pada awalnya dia jalinkan hubungan konon ingin membeli insurans melalui saya.

“Kemudian dia tawarkan skim-skim pelaburan saham emas. Selepas beberapa bulan, saya membuat transaksi pertama ke dalam akaun isterinya sebanyak RM18 ribu.

“Setelah tiga bulan, saya tidak dapat keluarkan (withdraw) emas saya dan dia memberi pelbagai alasan seperti penyelenggaraan,” katanya.

Menurut Muhammad Syafiq, setelah setahun beliau sedar bahawa skim ini tidak seperti ditawarkan dan pasangan terbabit berjanji untuk mengembalikan wang.

Katanya, janji yang ditabur itu berakhir dengan kehampaan apabila mangsa mendapat tidak sampai 50 peratus daripada jumlah yang dilaburkan.

“Saya telah beberapa kali berunding dengan mereka untuk memulangkan semula wang-wang mangsa yang telah dilaburkan.

“Namun mereka mencabar saya untuk mengambil tindakan undang-undang,” katanya. – KOSMO! ONLINE