Kenaikan Bil Air Bermula 1 Februari Ini


Pelarasan tarif air akan dilaksanakan di bawah Mekanisme Penetapan Tarif (TSM) bagi pengguna kategori domestik di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan berkuat kuasa mulai 1 Februari ini.

Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dalam satu kenyataan memaklumkan, pelarasan itu melibatkan kenaikan purata sebanyak 22 sen bagi setiap meter padu.

Menurutnya, ia juga berdasarkan keperluan dan permintaan kerajaan negeri namun Persekutuan melalui SPAN akan memantau secara dekat bagi memastikan penambahbaikan perkhidmatan air dilaksanakan selaras dengan kenaikan tarif berkenaan.

"Kenaikan ini masih rendah dan tidak dapat menampung kos sebenar penyediaan perkhidmatan bekalan air sebanyak RM1.75 bagi setiap meter padu berdasarkan rekod sebenar 2022.

"Walau bagaimanapun, bagi meminimumkan impak kenaikan ke atas bil air bulanan rakyat, operator bekalan air di negeri masing-masing disaran untuk meneruskan inisiatif sedia ada.

"(Iaitu) memberikan bantuan kepada pengguna domestik secara bersasar seperti pemberian rebat kepada golongan B40," kata suruhanjaya itu pada Rabu.

Menurut SPAN, struktur dan komponen tarif akan diseragamkan untuk negeri tersebut, manakala tarif air akan dikaji semula setiap tiga tahun bagi memastikan keselarasan dalam penentuan bayaran.

Ujarnya, ia tidak boleh lagi ditangguhkan agar tidak menjejaskan kemapanan industri perkhidmatan air dalam jangka masa panjang sekali gus memberi impak kepada kualiti perkhidmatan yang akan dinikmati rakyat.

“Pelarasan ini boleh mencerminkan kos bekalan air sangat penting bagi membolehkan operator air meningkatkan tahap perkhidmatan dalam membekalkan air yang berkualiti secara berterusan.

“Melalui semakan tarif ini, operator air lebih bersedia untuk membuat pelaburan berterusan bagi membangunkan infrastruktur sistem bekalan air.

"Seperti membina atau menaik taraf loji rawatan air, melakukan penggantian paip usang, melaksanakan penyelenggaraan secara berkala serta menangani aduan dengan lebih cekap" katanya.

Tambah SPAN, ia bagi menjamin kelangsungan perkhidmatan bekalan air dan memenuhi ekspektasi pengguna.

Selain itu, SPAN turut meminta pengguna untuk mengamalkan penggunaan air secara berhemat dengan langkah yang boleh dilakukan.

Katanya, pengguna boleh menggunakan produk cekap air di bawah Skim Pelabelan Produk Cekap Air.

“Mereka juga perlu memeriksa dan membaiki sebarang kebocoran paip serta pili air di premis masing-masing.

“Pengguna juga boleh memasang sistem penuaian air hujan dan penggunaan air kitar semula sebagai sumber air alternatif untuk kegunaan bukan minuman,” tambahnya. - .Sinar Harian