Skip to main content

Dipenjara Seumur Hidup, NGO Rayu Bebaskan 3 Rakyat Malaysia Di Bangladesh


Putrajaya: Angkara membawa masuk emas tanpa kebenaran kerajaan Bangladesh, tiga rakyat Malaysia ditahan dan dipenjarakan seumur hidup di negara berkenaan.

Rakyat Malaysia terbabit iaitu Johari Harun, 48, Mohd Azwan Salihin, 28, dan Hee Wool Khong, 35, didakwa melakukan kesalahan membawa masuk emas seberat 45 kilogram (kg) pada Oktober 2015.

Keluarga kepada ketiga-tiga rakyat Malaysia itu yang kini sudah tujuh tahun menjalani hukuman penjara mengharapkan bantuan kerajaan Malaysia untuk membawa mereka pulang dengan segera.

Isteri kepada Johari, Maizun Mohd Noor, 47, buntu memikirkan nasib suami yang kemungkinan terpaksa menghabiskan sisa hidup di dalam penjara selepas pelbagai usaha dilakukan untuk meringankan hukuman namun tidak berhasil.

Menceritakan kejadian, ibu kepada tujuh anak itu berkata, pada tahun itu perniagaan pakaian terpakai merosot menyebabkan suami mencari pendapatan lain bagi menampung kehidupan mereka sekeluarga.

"Suami memberitahu mahu ke Bangladesh dan saya tidak menghalangnya kerana dia sering ke negara itu untuk mengambil stok jualan.

"Saya hanya mengetahui suami ditahan selepas seorang kenalan meminta saya melihat berita penahanan suami yang disiarkan media Bangladesh menerusi YouTube. Memang sangat terkejut kerana suami tak beritahu bawa emas.

"Suami memaklumkan menerima upah RM300 untuk membawa masuk emas ke Bangladesh tanpa mengetahui tindakannya itu satu kesalahan," katanya ketika ditemui Harian Metro.

Sejak kejadian itu, Maizun berkata, dia sudah beberapa kali ke negara berkenaan melawat suami di penjara dan kali terakhir sebelum pandemik Covid-19 melanda kira-kira dua tahun lalu.

Menurutnya, anak-anak sangat merindui bapa mereka terutama anak bongsu yang ditinggalkan ketika berusia tiga tahun dan kini sudah berusia 10 tahun yang hanya dapat menatap gambar bapanya itu.

Kakak kepada Mohd Azwan yang mahu dikenali Su, 42, pula berkata, adiknya ke negara berkenaan selepas dipercayai terpengaruh dengan rakan.

Ketika itu, katanya, anak kelima daripada enam beradik itu berusia 21 tahun dan hanya membantu ibu berniaga di Kajang, Selangor.

"Adik dikatakan ditawarkan tiket penerbangan kelas perniagaan ke Bangladesh, hotel dan makan minum percuma serta diberi upah RM300 untuk membawa emas. Dia yang masih muda sudah tentu terpengaruh dengan tawaran itu, tambah pula dapat ke luar negara.

"Kami sekeluarga memang tidak tahu dia ke sana (Bangladesh). Seminggu adik hilang dan kami sekeluarga cuba mencarinya sebelum secara tiba-tiba seorang rakan adik datang ke rumah ibu beritahu adik ditangkap di Bangladesh," katanya.

Su berkata, pelbagai usaha dilakukan termasuk mendapatkan khidmat peguam di negara berkenaan, namun kesemuanya gagal malah turut ditipu ribuan ringgit oleh pihak tidak bertanggungjawab yang kononnya mahu membantu menyelesaikan kes.

"Kami sekeluarga sudah berhabis wang ringgit untuk bantu adik tapi tidak berhasil. Alhamdulillah, kami ditemukan dengan Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) yang mahu membantu kami," katanya.

Katanya, dia berharap kerajaan Malaysia dapat membantu meringankan hukuman adiknya dan rakyat Malaysia lain dan membawa mereka pulang ke negara ini.

Sementara itu, Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim mendesak kerajaan menyelesaikan isu berkenaan melalui perundingan diplomatik dengan kerajaan Bangladesh bagi mengurangkan hukuman dihadapi tiga rakyat Malaysia terbabit.

Beliau berkata, penjara seumur hidup dihadapi mereka seolah-olah tidak adil kerana berdasarkan maklumat diperoleh mendapati terdapat rakyat negara lain yang turut melakukan kesalahan sama tetapi dijatuhi hukuman penjara kurang 12 tahun.

"Kami menghormati undang-undang negara itu dan tidak mempertikaikan keputusan mahkamah, cuma mungkin mahkamah terkhilaf dari sudut meletakkan hukuman. Ini adalah kesalahan pertama mereka yang sepatutnya diambil kira dalam pelaksanaan hukuman," katanya.

Justeru, beliau berkata, MHO bersedia menghantar wakil bersama kerajaan Malaysia dan Bangladesh mengadakan pertemuan sekali gus menyelesaikan isu terbabit demi rakyat Malaysia yang ditahan serta keluarga mereka, Turut hadir, Pengerusi Pertubuhan Arah Kebajikan Insan (PAKIN Malaysia) EN Zack

Terdahulu, MHO menyerahkan memorandum kepada wakil Kementerian Luar di Putrajaya, untuk membantu supaya hukuman rakyat Malaysia disemak semula dan dikurangkan serta membawa mereka pulang ke pangkuan keluarga.

Popular posts from this blog

Konflik dalaman keluarga punca suami kelar isteri, bakar 4 kenderaan di rumah mentua

TANGKAK – Polis mengesahkan bahawa punca seorang suami mengelar isterinya sehingga maut berpunca daripada konflik dalaman keluarga yang dihadapi pasangan tersebut. Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintenden Roslan Mohd Talib berkata, pada mulanya pihak polis menerima laporan berkaitan kejadian kebakaran melibatkan empat buah kenderaan. Bagaimanapun, suspek yang dibawa ke balai polis kemudian memaklumkan bahawa isterinya telah meninggal dunia di kediaman mereka di Bukit Gambir. “Bertindak atas maklumat itu, sepasukan anggota polis telah digerakkan ke rumah suspek dan mendapati isteri suspek telah meninggal dunia dengan kesan kelar pada leher. “Mayat mangsa ditemui dalam keadaan berselubung dan sebilah pisau berlumuran darah yang dipercayai digunakan dalam kejadian turut dijumpai berhampiran wanita tersebut,” katanya ketika dihubungi pada Rabu. Beliau turut memaklumkan bahawa hasil ujian air kencing terhadap suspek didapati negatif daripada sebarang pengaruh dadah. Sebelum ini, katanya, s...

VIDEO: Kena Serang Dihadpan Rumah Kena Pukul Depan Bini

Alor Setar, 20 April — Seorang individu mendakwa telah diserang oleh beberapa individu dalam satu kejadian yang berlaku sekitar jam 7 petang di hadapan rumahnya di Taman Mas Merah, Alor Setar, Kedah. Menurut mangsa, insiden tersebut berpunca daripada salah faham dan ketidakpuasan hati suspek selepas mangsa menegur isteri salah seorang pelaku berhubung tindakan memotong kenderaan secara mengejut untuk memasuki simpang. Kejadian itu berlaku di hadapan ahli keluarga mangsa dan bukan sahaja menyebabkan kecederaan fizikal, malah meninggalkan trauma yang mendalam. Mangsa menyifatkan kejadian tersebut sebagai sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku kepada sesiapa, apatah lagi di kawasan kediaman sendiri yang sepatutnya menjadi tempat paling selamat. Rakaman kejadian melalui kamera litar tertutup (CCTV) telah diperoleh dan satu laporan polis telah dibuat kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM). Mangsa turut memaklumkan bahawa semua bukti berkaitan telah diserahkan dan beliau bersedia memberi kerjasa...

VIDEO TULAR: WANITA LOMPAT KELUAR DARI KENDERAAN SEDANG BERGERAK

KLANG: Seorang wanita mengalami kecederaan selepas terjun dari sebuah kereta yang sedang bergerak kerana didakwa berasa tidak selesa dengan seorang pemandu p-hailing. Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao, dalam satu kenyataan pada Sabtu (2 Mei), berkata pemandu berusia 47 tahun itu telah membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut selepas insiden pada 1 Mei. “Insiden berlaku di tengah jalan berhampiran sebuah stesen minyak di Taman Eng Ann ketika pengadu sedang membawa dua penumpang. “Tiba-tiba, salah seorang penumpang wanita membuka pintu belakang sebelah kanan dan terjun keluar ketika kenderaan masih bergerak. Pengadu segera memberhentikan kenderaan dan mendapati wanita tersebut mengalami kecederaan ringan akibat kejadian itu,” katanya. Siasatan mendapati wanita itu dipercayai berasa cemas dan takut akan keselamatannya kerana pemandu didakwa melihatnya melalui cermin pandang belakang tanpa sebab yang munasabah. Wanita itu kemudian dihantar ke sebuah ...