Skip to main content

Selepas 4 Tahun Perbicaraan Kes Rasuah Rosmah Diketahui Hari

Selepas hampir empat tahun perbicaraan, Datin Seri Rosmah Mansor akan mengetahui hari ni sama ada beliau akan dibebaskan atau disabitkan atas tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek hibrid solar untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan dijadual mengumumkan keputusannya pada 9 pagi di mahkamah terbuka.

Bagaimanapun, isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu telah memfailkan permohonan di saat akhir supaya Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini menarik diri daripada mendengar atau membuat keputusan berhubung kes tersebut.

Permohonan itu difailkan semalam atas alasan tular di media massa dan elektronik pada 26 Ogos lepas berkenaan berlakunya kebocoran keputusan kesnya yang disediakan oleh pihak lain.

Difahamkan Mahkamah Tinggi esok akan mendengar permohonan itu terlebih dahulu.

Rosmah, 70, menghadapi satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin.

Kes itu dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram manakala peguam Datuk Akberdin Abdul Kader dan Datuk Jagjit Singh mewakili Rosmah.

Pada 18 Feb 2021, Rosmah diperintah membela diri atas tiga pertuduhan selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Pihak pembelaan menutup kes pada 23 Feb lalu selepas memanggil dua saksi iaitu tertuduh sendiri dan bekas Pengarah Bahagian First Lady of Malaysia (FLOM) Datuk Seri Siti Azizah Sheikh Abod.

Najib, dijadual memberi keterangan selaku saksi pembelaan ketiga, bagaimanapun pada 10 Jan 2022, pihak pembelaan memaklumkan mahkamah bahawa mereka tidak akan memanggil bekas perdana menteri itu untuk memberi keterangan.

Pada 11 Dis 2020, pihak pendakwaan menutup kesnya selepas memanggil 23 saksi dalam perbicaraan yang bermula 5 Feb tahun yang sama.

Antara saksi yang dipanggil ialah Saidi, bekas Pegawai Khas Rosmah Datuk Rizal Mansor, bekas Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan ketika itu, Tan Sri Madinah Mohamed.

Rosmah sepatutnya dibicarakan bersama Rizal, 46, yang didakwa dengan empat tuduhan meminta dan menerima rasuah bagi pihak Rosmah atas projek berkenaan.

Bagaimanapun pada 8 Jan 2020, sebelum perbicaraan bermula, mahkamah membebaskan Rizal daripada tuduhan setelah pihak pendakwaan menarik balik keempat-empat tuduhan terhadapnya dan Rizal kemudian menjadi saksi utama pendakwaan.

Pada 15 Nov 2018, Rosmah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas dua pertuduhan rasuah.

Bagi pertuduhan pertama, beliau didakwa meminta suapan untuk dirinya sendiri RM187.5 juta, yang dibuat melalui Rizal, iaitu 15 peratus nilai kontrak daripada Saidi.

Wang berkenaan sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan projek dikenali sebagai Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan serta Operasi Genset/Diesel bagi 369 Sekolah Luar Bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.

Rosmah didakwa melakukan perbuatan itu di Sunway Putra Mall, Jalan Putra, di Kuala Lumpur antara Mac dan April 2016.

Bagi pertuduhan kedua, Rosmah didakwa menerima rasuah berjumlah RM1.5 juta daripada Saidi bagi tujuan sama di kediamannya di Jalan‬ ‪Langgak‬ ‪Duta,‬ ‪Taman‬ ‪Duta‬, pada 7 Sept 2017.

Pada 10 April 2019, Rosmah sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menerima suapan RM5 juta daripada Saidi menerusi Rizal kerana membantu Jepak Holdings mendapatkan projek serupa pada 20 Dis 2016, di kediaman Seri Perdana di Putrajaya.

Pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Semua kes itu telah dipindahkan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini. - Bernama

Popular posts from this blog

Video: Pemandu Grab Mengamuk. Suami Maki Isteri Dalam Grab

Video tular memaparkan seorang lelaki warga asing dipercayai memarahi isterinya ketika berada di dalam kenderaan e-hailing Grab sehingga mencetuskan ketegangan dengan pemandu Grab yang turut naik berang. Video rakaman CCTV memaparkan detik pertengkaran antara seorang lelaki warga asing dengan pemandu Grab dipercayai berlaku selepas lelaki tersebut memarahi isterinya di dalam kenderaan e-hailing berkenaan. Rakaman itu turut menunjukkan suasana tegang apabila pemandu Grab bertindak mempertahankan wanita terbabit sebelum berlaku pertikaman lidah antara kedua-dua pihak. Video berkenaan kini tular di media sosial dan mendapat pelbagai reaksi orang ramai. Antara komen orang awam yang tular di media sosial mengenai insiden tersebut ialah ramai yang meluahkan rasa marah terhadap tindakan lelaki berkenaan serta memuji pemandu Grab kerana campur tangan. Sebahagian netizen turut meminta pihak berkuasa mengambil tindakan tegas, manakala ada yang bersimpati terhadap wanita dipercayai menjadi mangs...

1 Maut, 2 Cedera Dalam Insiden Tembakan Di Skudai

Satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan insiden tembakan yang berlaku malam tadi di kawasan Taman Industri Jaya, Skudai sehingga mengakibatkan seorang lelaki maut manakala dua lagi cedera. Menurut kenyataan media yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia, kejadian berlaku sekitar jam 11 malam dan pihak polis menerima maklumat berkaitan insiden tembakan melibatkan mangsa lelaki tempatan berusia 27 tahun. Siasatan awal mendapati kejadian berlaku di hadapan sebuah pusat hiburan di kawasan berkenaan. Seorang mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat terkena tembakan, manakala seorang lagi mangsa mengalami kecederaan. Turut dipercayai terdapat seorang lagi individu cedera namun identitinya masih belum dikenal pasti selepas dibawa keluar dari lokasi oleh kenalannya. Polis kini sedang giat mengesan dua suspek yang masih bebas bagi membantu siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta t...

VIDEO TULAR: WANITA LOMPAT KELUAR DARI KENDERAAN SEDANG BERGERAK

KLANG: Seorang wanita mengalami kecederaan selepas terjun dari sebuah kereta yang sedang bergerak kerana didakwa berasa tidak selesa dengan seorang pemandu p-hailing. Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao, dalam satu kenyataan pada Sabtu (2 Mei), berkata pemandu berusia 47 tahun itu telah membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut selepas insiden pada 1 Mei. “Insiden berlaku di tengah jalan berhampiran sebuah stesen minyak di Taman Eng Ann ketika pengadu sedang membawa dua penumpang. “Tiba-tiba, salah seorang penumpang wanita membuka pintu belakang sebelah kanan dan terjun keluar ketika kenderaan masih bergerak. Pengadu segera memberhentikan kenderaan dan mendapati wanita tersebut mengalami kecederaan ringan akibat kejadian itu,” katanya. Siasatan mendapati wanita itu dipercayai berasa cemas dan takut akan keselamatannya kerana pemandu didakwa melihatnya melalui cermin pandang belakang tanpa sebab yang munasabah. Wanita itu kemudian dihantar ke sebuah ...