Skip to main content

Najib Bersumpah Nafi Terlibat Seleweng Dana 42 Juta

Bekas perdana menteri Najib Razak malam ini sekali lagi melafazkan sumpah mubahalah (saling laknat melaknati) bagi menafikan pembabitannya dalam penyelewengan dana SRC International.

Najib berkata, lafaz sumpah kali ini bertujuan untuk membersihkan nama keluarganya dan kedua ibu bapanya.

Dalam lafaz sumpahnya, Najib berkata bahawa dia tidak menyedari sama ada secara langsung atau tidak bahawa duit sebanyak RM42 juta yang masuk ke akaunnya adalah dari SRC International.

"Aku, Mohd Najib bin Abdul Razak setelah berjuang untuk mendapat keadilan ke atas diri di dunia ini, dengan ini aku melafazkan ucapan mubahalah ku,” kata Najib di Masjid Kampung Baru, di Kuala Lumpur.

Perkembangan itu hadir menjelang prosiding rayuan akhir kes bekas perdana menteri itu di Mahkamah Rayuan pada Selasa ini.

"...Aku tidak pernah pada bila-bila masa mengetahui secara khusus atau sebaliknya bahawa dana RM42 juta datangnya dari syarikat SRC secara langsung atau tidak langsung.

"...Aku tidak pernah menerbitkan atau bersetuju mewujudkan syarikat SRC untuk tujuan merangkul apa-apa dana SRC bagi tujuan kegunaan peribadi ku atau tujuan kegunaan keluarga ku.

"...Aku tidak pernah mengarahkan mana-mana anggota pengarah atau mana-mana pegawai SRC untuk menyelewengkan apa-apa dana syarikat SRC ke dalam akaun bank aku untuk apa-apa tujuan pun," kata Najib lagi ketika melafazkan sumpahnya.

Najib tiba di Masjid Jamek Kampung Baru sebelum masuk waktu solat Isyak dengan diiringi anaknya, Ashman, beberapa pemimpin politik serta penyokong.

Najib, Ashman dan beberapa pemimpin Umno yang hadir mengenakan baju putih.

Antara pemimpin Umno lain yang hadir termasuklah Setiausaha Agung Ahmad Maslan dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Ahmad Jazlan Yaakub.

Ketibaan Najib di masjid disambut oleh penyokongnya yang hadir memberi sokongan dan turut serta menunaikan solat hajat buat bekas presiden Umno itu.

Ahli Parlimen Pekan itu menzahirkan rasa kecewa di atas keputusan Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta terhadapnya.

Dalam sumpahnya malam ini, Najib juga mendakwa dia tidak terlibat dalam mesyuarat kabinet bagi meluluskan jaminan kerajaan bagi pinjaman Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) sebanyak RM4 billion kepada syarikat SRC untuk tujuan mendapatkan habuan haram.

Sebelum mengakhiri sumpahnya, Najib sekali lagi melafazkan kesediaannya untuk dilaknat Allah SWT jika dia berbohong.

"Sekiranya aku berdusta di atas sumpah ku ini, ya Allah...Maka ya Allah halallah laknat ke atas diriku.

"Sebaliknya jika semua ini fitnah yang telah dirancang oleh musuh-musuh politik ku, maka ya Allah aku bermohon sesungguhnya kepada Mu agar engkau laknati lah mereka, serta orang-orang yang bersubahat dan bersekongkol dengan mereka," katanya sambil disambut dengan ucapan "amin" oleh jemaah yang hadir.

Pada Disember tahun lalu, Mahkamah Rayuan menolak permohonan Najib untuk mengenepikan sabitan yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi pada 28 Julai 2020 atas pertuduhan salah guna kuasa, jenayah pecah amanah dan pengubahan wang haram.

Najib kemudian mengemukakan rayuan terakhir di Mahkamah Persekutuan bagi mengenepikan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta bagi kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC.

Hukuman ditangguhkan sementara proses rayuan selesai.

Sejarah sumpah Najib

Untuk rekod, pada 2019, Najib pernah melafazkan sumpah bagi menafikan dakwaan pembabitannya dalam kes pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu.

Pada 28 Julai 2020 pula, Najib melafazkan sumpah serupa berhubung kes SRC bagi menyatakan bahawa dia tidak tahu mengenai RM42 juta yang disalurkan ke akaunnya.

Dia kemudiannya sekali lagi melafazkan sumpah laknat pada 8 Dis 2021 secara dalam talian bagi menyatakan tidak bersalah di atas tuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana SRC International.

Pada 2019, Mufti Wilayah Persekutuan ketika itu, Zulkifli Mohamad berkata istilah sumpah laknat tidak ada dalam perundangan Islam kecuali membabitkan perkara mengenai "li'an".

Dalam Islam, ucapan li'an dilakukan oleh suami yang nampak isterinya berzina dengan lelaki lain, tetapi tidak dapat mendatangkan seramai empat orang saksi.

Manakala Istilah "mubahalah" (saling laknat melaknati) yang disebutkan dalam Surah Ali Imran ayat ke-61 pula tidak merujuk kepada perundangan Islam, kata Zulkifli.

Tambah Zulkifli, sumpah mubahalah juga tidak menjadi satu tuntutan sekiranya kes masih berjalan di mahkamah.

Zulkifli juga berkata, dalam prinsip perundangan Islam, sumpah hanya diambil kira atau dilakukan apabila diminta oleh 'qadhi' atau hakim.

Mufti Pahang Dr Abdul Rahman Osman ketika itu pula berpandangan sumpah laknat yang dilakukan Najib tidak bercanggah dengan hukum syarak.

Katanya, istilah sumpah laknat (li'an) dan "mubahalah" terdapat dalam Islam, bagaimanapun dalam melaksanakannya ia harus melihat kepada situasi.

"Sebenarnya istilah itu ada dalam syarak, mubahalah istilah yang ada, tinggalnya lagi untuk mengamalkannya. Ada waktu sesuai, ada waktu tak sesuai, tetapi tidak bercanggah dengan syarak.

"Bagi orang ramai tidak sesuai (untuk sumpah laknat), kalau tidak sikit-sikit mahu bersumpah. Bagi pemimpin tertentu mungkin sesuai kalau tiada pilihan.

"Kalau negara kita mengamalkan hukum syarak mungkin boleh, tapi negara kita melaksanakan perundangan sivil, semolek-moleknya tak perlu bersumpah, tetapi kalau dah tak ada pilihan (boleh bersumpah)," katanya. - malaysiakini

Popular posts from this blog

Video: Pemandu Grab Mengamuk. Suami Maki Isteri Dalam Grab

Video tular memaparkan seorang lelaki warga asing dipercayai memarahi isterinya ketika berada di dalam kenderaan e-hailing Grab sehingga mencetuskan ketegangan dengan pemandu Grab yang turut naik berang. Video rakaman CCTV memaparkan detik pertengkaran antara seorang lelaki warga asing dengan pemandu Grab dipercayai berlaku selepas lelaki tersebut memarahi isterinya di dalam kenderaan e-hailing berkenaan. Rakaman itu turut menunjukkan suasana tegang apabila pemandu Grab bertindak mempertahankan wanita terbabit sebelum berlaku pertikaman lidah antara kedua-dua pihak. Video berkenaan kini tular di media sosial dan mendapat pelbagai reaksi orang ramai. Antara komen orang awam yang tular di media sosial mengenai insiden tersebut ialah ramai yang meluahkan rasa marah terhadap tindakan lelaki berkenaan serta memuji pemandu Grab kerana campur tangan. Sebahagian netizen turut meminta pihak berkuasa mengambil tindakan tegas, manakala ada yang bersimpati terhadap wanita dipercayai menjadi mangs...

1 Maut, 2 Cedera Dalam Insiden Tembakan Di Skudai

Satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan insiden tembakan yang berlaku malam tadi di kawasan Taman Industri Jaya, Skudai sehingga mengakibatkan seorang lelaki maut manakala dua lagi cedera. Menurut kenyataan media yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia, kejadian berlaku sekitar jam 11 malam dan pihak polis menerima maklumat berkaitan insiden tembakan melibatkan mangsa lelaki tempatan berusia 27 tahun. Siasatan awal mendapati kejadian berlaku di hadapan sebuah pusat hiburan di kawasan berkenaan. Seorang mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat terkena tembakan, manakala seorang lagi mangsa mengalami kecederaan. Turut dipercayai terdapat seorang lagi individu cedera namun identitinya masih belum dikenal pasti selepas dibawa keluar dari lokasi oleh kenalannya. Polis kini sedang giat mengesan dua suspek yang masih bebas bagi membantu siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta t...

VIDEO TULAR: WANITA LOMPAT KELUAR DARI KENDERAAN SEDANG BERGERAK

KLANG: Seorang wanita mengalami kecederaan selepas terjun dari sebuah kereta yang sedang bergerak kerana didakwa berasa tidak selesa dengan seorang pemandu p-hailing. Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao, dalam satu kenyataan pada Sabtu (2 Mei), berkata pemandu berusia 47 tahun itu telah membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut selepas insiden pada 1 Mei. “Insiden berlaku di tengah jalan berhampiran sebuah stesen minyak di Taman Eng Ann ketika pengadu sedang membawa dua penumpang. “Tiba-tiba, salah seorang penumpang wanita membuka pintu belakang sebelah kanan dan terjun keluar ketika kenderaan masih bergerak. Pengadu segera memberhentikan kenderaan dan mendapati wanita tersebut mengalami kecederaan ringan akibat kejadian itu,” katanya. Siasatan mendapati wanita itu dipercayai berasa cemas dan takut akan keselamatannya kerana pemandu didakwa melihatnya melalui cermin pandang belakang tanpa sebab yang munasabah. Wanita itu kemudian dihantar ke sebuah ...