Kaitkan Hakim Dengan Mahathir, Ramesh Rao Mengaku Tak Bersalah


Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin Malaysia Ramesh Rao mengaku tidak bersalah atas tuduhan mengaitkan hakim perbicaraan SRC International Sdn Bhd (SRC) dengan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Dia sebelum ini mendakwa bahawa hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohd Nazlan Mohd Ghazali merupakan cucu Mahathir.

Mohd Nazlan adalah hakim yang mendengar perbicaraan Najib dan mensabitkan ahli parlimen Pekan itu bersalah atas tujuh pertuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram.

Hakim terbabit menetapkan Najib dihukum penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

Tuduhan ke atas Ramesh dibacakan di Mahkamah Sesyen Taiping pagi ini mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu menggunakan kemudahan rangkaian telekomunikasi secara tidak wajar.

Hakim Zulhelmy Hasan kemudian membenarkan Ramesh diikat jamin sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin.

Zulhelmy kemudian menetapkan 1 Mac untuk sebutan semula kes berkenaan.

Peguam Shamser Singh Thind mewakili tertuduh, manakala Sariza Ismail bertindak sebagai timbalan pendakwa raya.

Tuduhan itu hadir enam bulan selepas Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman menjalankan siasatan terhadap Ramesh berdasarkan laporan yang dibuat Mohd Afzanizam Abdul Rahman pada 30 Julai tahun lalu.

Semasa aduan itu dibuat Afzanizam ialah Ketua Penerangan Bersatu Bukit Gantang namun kini dia merupakan Presiden Tun Mahathir Fan Club di Perak. - Malaysiakini (BM Version)