Kejadian Terbongkar Selepas Mangsa Dibawa Ke Klinik


BELURAN: Seorang gadis melalui detik hitam apabila dirogol selepas diberikan minuman keras oleh majikannya dalam satu kejadian di sebuah kedai runcit di Paitan.

Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan Kasim Muda berkata, susulan itu polis menahan seorang lelaki warganegara tempatan berketurunan Pakistan bagi membantu siasatan.

Menurutnya, suspek berusia 24 tahun itu ditahan pada Isnin lalu, susulan laporan polis yang dibuat oleh keluarga mangsa.

"Kejadian terbongkar apabila mangsa dibawa ke Klinik Kesihatan Sungai-Sungai dan hasil pemeriksaan doktor mengesahkan terdapat kesan koyakan pada kemaluan mangsa dan berlaku pendarahan yang serius.

“Sebelum itu, mangsa yang berusia 21 tahun dikatakan diberi minuman keras sehingga menyebabkan dia menjadi khayal lalu dirogol.

"Mangsa dirogol di dalam stor kedai runcit semasa waktu bekerja dan mangsa dibayar gaji pada hari yang sama," katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat.

Menurutnya, selepas kejadian, mangsa mengalami pendarahan yang serius sehingga menyebabkan mangsa pengsan akibat luka pada bahagian alat sulit.

“Polis sudah merakamkan percakapan mangsa dan turut dihantar ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.
"Bagaimanapun, siasatan diteruskan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan," katanya. Astro Awani