Powered by Blogger.

Tuesday, October 6, 2020

Bayi Perempuan Berusia Setahun Jad Mangsa Hari Ini


PUTRAJAYA: Seorang bayi perempuan berusia setahun adalah antara empat kematian berkaitan COVID-19 yang dilaporkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata bayi perempuan rakyat Malaysia itu adalah kes kematian ke-140 yang dicatat setakat tengah hari tadi.

Beliau berkata, kes dibawa mendapatkan rawatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Semporna pada 1 Oktober lalu.

"Keadaan kesihatan kes didapati merosot dan memerlukan bantuan pernafasan. Saringan COVID-19 didapati positif pada 5 Oktober 2020. Kes disahkan meninggal dunia pada 5 Oktober 2020 jam 4.25 petang," katanya pada sidang media COVID-19, di sini, hari ini.

Ini adalah kematian pertama membabitkan bayi di negara ini.

Selain itu, Dr Noor Hisham berkata, kes kematian ke-138 membabitkan seorang lelaki rakyat Malaysia berusia 60 tahun yang dimasukkan ke Hospital Duchess of Kent Sandakan pada 25 September 2020.

Saringan COVID-19 didapati positif pada 26 September 2020 manakala keadaan kes didapati merosot dan disahkan meninggal dunia pada jam 6.50 pagi Ahad lalu.

Kes kematian ke-139 membabitkan seorang lelaki rakyat Malaysia juga berusia 60 tahun.

Dr Noor Hisham berkata, kes mendapatkan rawatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Semporna pada 1 September lalu.

"Saringan COVID-19 didapati positif pada 30 September 2020. Beliau disahkan meninggal dunia pada 4 Oktober 2020 jam 5.05 pagi.

"Kes kematian ke-141 membabitkan lelaki rakyat Malaysia berusia 85 tahun.

"Kes mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi dan penyakit kesihatan mental," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, lelaki itu ditemui tidak sedar diri pada jam 7 pagi semalam dan terus dibawa ke Hospital Pulau Pinang.

Beliau berkata, kes didapati tidak bernafas di Hospital Pulau Pinang dan disahkan meninggal dunia pada jam 7.50 pagi semalam manakala saringan COVID-19 terhadapnya dikesan positif. - Berita Harian Online