Video: Ibu Buang Anak Dari Jambatan, Balas Dendam Terhadap Suami


Tular sebuah video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan seorang wanita membuang dua anak ke Sungai Tigris di utara ibu kota Iraq.

Menurut laporan Sinar Harian, wanita itu membuang dua orang anaknya dari jambatan kerana untuk membalas dendam terhadap bekas suaminya.

Bagaimanapun, menurut sumber keselamatan, polis Baghdad telah menahan ibu kepada anak lelaki dan perempuan masing-masing berusia tiga dan dua tahun itu.

Katanya, siasatan awal mendapati wanita itu bertindak sedemikian sebagai balas dendam terhadap bekas suami yang menceraikannya.

Menurut laporan itu juga, kedua-dua mangsa Hur Mohammed dan Masuma Mohammed masih belum ditemui sejak kejadian pada 17 Oktober lalu.

Semua ahli keluarga berada dalam keadaan terkejut berikutan kejadian itu dan masih dalam berusaha mencari mayat dua beradik tersebut.

Datuk kepada mangsa, Abu Tahsin Deraji berkata, tindakan wanita itu mengakhiri nyawa anak-anaknya adalah kerana tidak boleh menerima hakikat suaminya meminta cerai pada bulan lalu.

“Kejahatan ini telah lama dirancang. Sudah hampir dua bulan wanita ini berpisah dengan suaminya.

“Januari lalu, kami menangkap wanita itu dengan kekasihnya. Kami membawanya kembali ke rumah ibu bapanya dan memberitahu mereka apa terjadi.

“Kami mahu menceraikannya di mahkamah. Mereka bersetuju. Kami tidak pernah berbincang perkara ini di mana-mana, dan kami juga tidak menunjukkan gambar-gambar (bersama kekasih) kepada sesiapa,” jelasnya.

Insiden menyayat hati itu dilaporkan berlaku di Jambatan Al Aimmah yang menghubungkan kawasan Adhamiya, wilayah Sunni dengan wilayah Syiah Kadhimiya di Baghdad.

Video tersebut mengundang reaksi terkejut dan sebak warganet terhadap ibu yang tidak mempunyai rasa belas kasihan itu.- Sinar Harian