Powered by Blogger.

Thursday, August 27, 2020

Terima Mesej Dari Bomoh, Kata Saksi Kes Inkues Nora Anne


SEREMBAN - Saya ada terima maklumat daripada seorang rakan kepada ahli keluarga Nora Anne yang menyatakan menerima mesej menerusi WhatsApp daripada bomoh, kata seorang saksi prosiding inkues bagi mengetahui punca kematian remaja Ireland-Perancis Nora Anne Quoirin di Mahkamah Koroner di sini, hari ini.

Pegawai Turus Bahagian Jenayah Seksual, Wanita Dan Kanak-Kanak, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan Asisten Superintendan Chong Meei Chyi, saksi keempat pada prosiding yang masuk hari keempat hari ini, memberitahu mesej yang diterima lelaki berkenaan, antara lain berkaitan tentang keberadaan serta perasaan yang dialami remaja itu daripada beberapa bomoh di luar negara.

"Saya ada bertanya Dominic (yang merupakan rakan kepada bapa saudara Nora Anne) daripada mana dia mendapat mesej berkenaan dan memaklumkan bahawa dia memperoleh daripada kawan dan saudara-mara. Terdapat tiga mesej menyatakan Nora Anne diikuti oleh some people di lapangan terbang (KLIA) dan Nora masih hidup.

"Mesej kedua daripada bomoh lain berbunyi - feeling that Nora was still nearby (the) resort, Nora still alive (merasakan Nora masih berada berdekatan resort, Nora masih hidup), Nora ketakutan berada dalam hutan, Nora lost and need her mother. (Nora sesat dan mahukan ibunya)

"...serta bomoh lain katanya (berada) dalam south west (barat daya) dalam hutan, kemungkinan Nora berada di kawasan itu dalam van...mungkin Nora berada dalam van,” katanya ketika memberi keterangan di hadapan Koroner Maimoonah Aid pada prosiding berkenaan.

Meei Chyi berkata, sebaik memperoleh maklumat itu, beliau seterusnya telah menyalurkannya kepada pusat operasi misi mencari dan menyelamat (SAR) remaja berkenan, untuk tindakan selanjutnya.

Ditanya Timbalan Pendakwa Raya Nuralis Mat adakah beliau mengetahui dari manakah bomoh berkenaan, saksi berkata, "Bomoh dari negara mana saya tak pasti kerana mereka tak beritahu. Semua maklumat yang diberikan bomoh ini telah kita ambil tindakan namun keputusan negatif".

Dalam pada itu, mahkamah juga diberitahu bahawa dua hari selepas mayat remaja berkenaan ditemukan, keluarga Nora Anne pernah membuat permintaan untuk mengadakan upacara sembahyang di lokasi anak mereka dijumpai pada 13 Ogos tahun lepas.

"Pada jam lebih kurang 11 pagi, saya terima permintaan daripada ibu orang hilang nak melawat tempat orang hilang dijumpai untuk melakukan upacara sembahyang. Mereka nak buat upacara ringkas dan saya kata saya nak tanya forensik dahulu.

“Kemudian selepas dimaklumkan boleh dilawat memandangkan siasatan di tempat kejadian telah selesai, kemudian saya maklum pada keluarga boleh lawat pada pukul 4 petang,” kata Meei Chyi yang merupakan pegawai perhubungan kepada keluarga Nora Anne.

Terdahulu, pada prosiding berkenaan, mahkamah turut diberitahu oleh saksi bahawa Nora Anne tidur dalam keadaan separuh bogel dan hanya memakai seluar dalam berikutan villa yang diinap keluarga berkenaan panas.

Prosiding inkues dijadual berlangsung selama dua minggu bermula 24 hingga 28 Ogos dan bersambung semula pada 1 hingga 4 Sept ini.

Seramai 64 saksi akan dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan.

Nora Anne, 15, hilang pada 4 Ogos tahun lepas, sehari selepas dia dan keluarga tiba di Malaysia untuk bercuti selama dua minggu di sebuah pusat peranginan di Pantai di sini, kira-kira 60 kilometer di selatan ibu negara.

Mayat Nora Anne ditemukan pada 13 Ogos, berhampiran anak sungai di kawasan berlurah, kira-kira 2.5 kilometer dari resort penginapannya susulan pencarian besar-besaran yang dilakukan pihak berkuasa.

Laporan awal bedah siasat menyatakan kematian remaja berkenaan yang merupakan golongan istimewa tidak mempunyai unsur jenayah dan remaja itu disahkan mati akibat kebocoran usus yang berpunca daripada tidak makan untuk tempoh lama dan tekanan yang berpanjangan.

Prosiding inkues bersambung semula 2.30 petang ini. - Bernama