Suami Orang, Isteri Orang Dicekup Berkhalwat


ALOR SETAR: Seorang pekerja di syarikat pengiklanan dan seorang wanita berstatus isteri orang dicekup berkhalwat di sebuah unit kondominium di Jalan Langgar, di sini malam tadi.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK), Syeikh Radzi Abdul Mutalib, berkata wanita berusia 32 tahun dan pasangannya berusia 39 tahun itu ditahan dalam pemeriksaan jam 11.40 malam.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat yang diperoleh, pasangan itu dipercayai sudah empat hari tinggal bersama di sebuah kediaman itu.

"Wanita yang bekerja di syarikat swasta itu memberi alasan sudah tidak sefahaman dengan suaminya dan menjalinkan hubungan dengan lelaki berkenaan yang bekerja di syarikat pengiklanan.

"Ketika pemeriksaan dilakukan pasangan itu gagal menunjukkan sebarang hubungan mahram atau suami isteri malah mengaku masing-masing sudah berkahwin," katanya ketika dihubungi hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 kerana berkhalwat, sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali. - Berita Harian Online