Petisyen Cadang Habib Ali Zainal Abidin Dilantik Mufti WP

SHAH ALAM - Satu petisyen dalam talian dilancarkan bagi mencadangkan pendakwah bebas, Habib Ali Zainal Abidin Al Hamid dilantik sebagai Mufti Wilayah Persekutuan baharu.

Petisyen yang dilancarkan di laman change.org semalam telah mendapat lebih 32,670 tandatangan sokongan setakat jam 12.30 tengah hari tadi.

Menerusi petisyen itu, Habib Ali Zainal Abidin Al Hamid terbukti seorang ikon dakwah yang disenangi semua lapisan masyarakat di Malaysia dan tidak pernah menjadikan politik sebagai alat untuk meraih sokongan mana-mana pihak.

Beliau juga dikatakan memiliki keluasan dalam segenap bidang pengajian Islam menjadikan beliau tokoh yang paling sesuai untuk dipilih sebagai Mufti Wilayah Persekutuan bagi menggantikan Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

"Habib Ali Zainal juga sangat disegani semua pihak, kerajaan atau pembangkang, tua atau muda, kaya atau miskin.

"Pendirian beliau yang bersederhana dan tidak senang menghukum sesuatu semestinya mampu menyatukan umat Islam di Malaysia terutamanya di Wilayah Persekutuan.

"Oleh demikian atas pelbagai sebab yang munasabah, kami ingin mencadangkan bahawa Habib Ali Zainal Abidin Abu Bakar Al Hamid dilantik menjadi Mufti Wilayah Persekutuan Malaysia yang baru. Semoga anda semua menyokong usaha ini!" tulis di petisyen itu. - Sinar Harian