Warga Myanmar Degil, Cuba Lolos Kawat Duri PKPD

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga Myanmar ditangkap cuba meloloskan diri melalui pagar kawat duri yang dipasang di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Jalan 9/3A berhampiran Pasar Borong Kuala Lumpur, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner S Shanmugamoorthy Chinniah berkata, tangkapan itu dibuat ketika anggota polis dan tentera sedang membuat rondaan di lokasi berkenaan kira-kira jam 11 pagi.

"Ketika rondaan dilakukan, suspek ditemui sedang cuba melepasi halangan yang dipasang pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di lokasi terbabit,” katanya melalui kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya tidak menahan suspek itu kerana dia masih dalam proses kuarantin serta risiko kesihatan jangkitan.

"Bagaimanapun, siasatan tetap dijalankan mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) 2020," katanya. - Sinar Harian