Gara-Gara Sayur Percuma, Orang Ramai Tidak Pedulikan Keselamatan

KOTA KINABALU: Gara-gara ingin mendapatkan sayur percuma, ratusan orang awam dilihat berbaris tanpa mempedulikan keselamatan dengan tidak mengambil kira langkah penjarakan sosial.

Bantuan agihan bekalan sayur yang dipercayai dari Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Inanam itu disampaikan di empat lokasi bermula pada pagi tadi.

Kejadian pengagihan bekalan itu yang dipercayai berlaku di Pekan Inanam dan tular di laman sosial sehingga menimbulkan kecaman orang ramai.

Acara pemberian berkenaan bagaimanapun hanya berlanjutan selama kira-kira dua jam dan orang ramai yang menerima sumbangan juga terus pulang ke rumah masing-masing.

Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Nordin Siman, berkata jumlah orang awam yang terlalu ramai berkumpul dalam acara sumbangan itu membimbangkan kerana ia berpotensi menyebabkan penularan wabak COVID-19.

Katanya, orang awam yang hadir sepatutnya memastikan penjarakan selamat antara mereka bagi mengelakkan potensi jangkitan penyakit berkenaan.

“Kita juga berharap supaya sebarang pengedaran atau pemberian sumbangan di masa akan datang dapat dilakukan dengan mengambil kira amalan kesihatan selamat.

“Ini perlu dilakukan dalam usaha kita memerangi COVID-19 sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa 3 yang dilanjutkan sehingga 28 April depan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji, berkata pihaknya yang menerima maklumat itu kemudiannya bergegas ke lokasi untuk menasihati penduduk supaya mematuhi PKP terutama penjarakan sosial.

“Susulan insiden itu, kita mengarahkan sepasukan anggota untuk memantau mereka.

“Polis juga mengarahkan kesemua penerima bantuan itu balik ke rumah selepas mendapat bekalan sayur yang diagihkan,” katanya.

Menurutnya, semua pihak supaya mematuhi pelaksanaan PKP dan tidak berhimpun bagi mengelakkan penularan pandemik COVID-19. - Berita Harian Online