Pesta Songkran Di Bandar Baru Salak Tinggi Malam Tadi Tular

Pesta 'Songkran' pekerja asing, polis tunggu penjelasan kilang
SEPANG: Aksi sekumpulan pekerja asing yang berpesta 'Songkran' di kawasan Bandar Baru Salak Tinggi di sini malam semalam, tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Sepang ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof ketika dihubungi hari ini mengesahkan menerima maklumat mengenai 'pesta' berkenaan yang diadakan di perkarangan asrama kilang pekerja itu.

"Kita masih menunggu penjelasan daripada pihak kilang tempat mereka bekerja," katanya.

Sebuah video berdurasi lebih 30 minit yang tular di media sosial menunjukkan kumpulan pekerja asing menari sambil menyanyi dipercayai meraikan festival air atau lebih dikenali sebagai Songkran.

Menurut maklumat pada video berkenaan, mereka adalah pekerja di sebuah kilang sarung tangan.

Tindakan mereka menerima kecaman orang ramai kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika negara berusaha membendung penularan wabak COVID-19. -BERNAMA