Menurutnya, Kementerian Kesihatan (KKM) memandang serius kepatuhan rakyat terhadap nasihat yang telah dikeluarkan.
"Selain kenderaan di jalan raya juga bertambah, KKM mendapati ada yang berkunjung ke rumah saudara-mara yang tidak sihat termasuk mereka yang sedang menjalani pengawasan di rumah," katanya pada sidang media perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.
Mengambil contoh kes kematian ke-64 melibatkan wanita berumur 58 tahun yang dirawat di Hospital Tuanku Ja'afar, beliau berkata, KKM mendapati wanita berkenaan dan beberapa individu telah meneruskan perjalanan ke dua negeri meskipun PKP telah dilaksanakan.
"Mengambil kira situasi semasa ini, KKM ingin menggesa orang ramai supaya kekal patuh kepada PKP bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19," katanya.
Dr Noor Hisham berkata, setiap lapisan masyarakat perlu memainkan peranan masing-masing secara bertanggungjawab.
"Pematuhan kepada ketetapan ini adalah amat penting bagi mengekang dari berlakunya penularan jangkitan yang meluas dalam masyarakat," katanya. - Sinar Harian