Rogol Remaja Perempuan Berusia 15 tahun

KANGAR - Dua remaja lelaki ditahan polis atas kesalahan merogol remaja perempuan berusia 15 tahun di kawasan Bintong, Kangar kelmarin.

Sumber berkata, kedua-dua suspek berusia 17 dan 15 tahun itu ditahan kira-kira jam 5 petang semalam di sebuah rumah di Kampung Wang Besar, Bintong di sini.

Menurutnya, kedua-dua suspek masuk ke rumah mangsa di Taman Guru Jaya di sini sebelum merogol mangsa yang berusia 15 tahun secara bergilir-gilir di biliknya dalam kejadian jam 2 pagi.

"Kedua-dua suspek pulang selepas merogol remaja perempuan itu sebelum seorang daripada suspek berusia 15 tahun datang semula untuk mengambil mangsa.

“Selepas itu, suspek membawa remaja perempuan itu ke rumahnya di Taman Desa Putra, Bintong sebelum merogol mangsa sekali lagi di dalam bilik suspek,” katanya.

Sumber berkata, mangsa kemudian dihantar semula kira-kira jam 4.40 pagi sebelum hadir membuat laporan polis pagi semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew mengesahkan menerima laporan kejadian.

Menurutnya, kedua-dua suspek direman empat hari bermula semalam. - Sinar Harian