Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintenden Mohd Zain Mat Dris berkata, polis tidak pernah bertindak seperti itu ketika bertugas terutama sepanjang tempoh PKP ini.
Menurutnya, individu yang dikesan melanggar arahan PKP akan terus ditangkap jika masih berdegil selepas diberi nasihat dan peringatan.
"Sepanjang tempoh 10 hari PKP dilaksanakan, kami mendapati 97 peratus penduduk di Marang patuh dengan arahan dikeluarkan kerajaan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
Terdahulu, penyebaran gambar sekumpulan remaja yang dipaksa meniarap di bahu jalan kononnya berlaku di Kampung Batangan, di sini, tular di media sosial terutama aplikasi WhatsApp sejak semalam.
Sementara itu, jelas Mohd Zain, seramai 198 anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang dibantu 59 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ditugaskan membuat rondaan dan sekatan jalan raya selama 24 jam setiap hari sepanjang tempoh PKP ini.
Katanya, sehingga hari ini tiga individu ditahan di daerah ini kerana didapati ingkar arahan PKP dan kesemua mereka akan dikenakan tindakan di bawah Seksyen 24 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
"Jika disabitkan kesalahan, individu terlibat boleh dipenjarakan tidak melebihi dua tahun atau denda atau kedua-duanya," katanya. - Sinar Harian