Jemaah Tabligh Sri Petaling Ditahan Dalam Sekatan Jalan Raya Di Bayan Baru

BAYAN BARU - Tiga lelaki dipercayai jemaah tabligh ditahan dalam satu sekatan jalan raya di Jalan Sultan Azlan Shah, di sini pada jam 6.30 petang tadi.

Selain mereka, turut ditahan seorang wanita dipercayai isteri salah seorang daripada jemaah berkenaan.

Kesemua mereka yang berusia lingkungan 27 hingga 56 tahun itu ditahan ketika berada dalam sebuah kereta Proton Waja dipercayai dalam perjalanan dari Balik Pulau menuju ke pusat bandar.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden AA Anbalagan berkata, mereka ditahan selepas polis mendapati salah seorang daripada mereka pernah menghadiri Ijtimak Tabligh di Masjid Jamek Sri Petaling.

Kesemua mereka ditahan untuk pemeriksaan lanjut dan kini di bawah pemantauan hospital.

Menurutnya, lelaki berusia 55 tahun itu tinggal di Batu Maung manakala dua rakannya dari Balik Pulau.

"Ketika pemeriksaan dilakukan, lelaki tersebut dilihat meragukan dan cuba mengelak daripada diperiksa. Salah seorang daripada anggota polis bertugas telah menyentuh lelaki tersebut untuk menahannya.

"Oleh itu, anggota polis tersebut terpaksa dikuarantin selama 14 hari di kediamannya untuk kita pantau keadaan kesihatannya," katanya ketika dihubungi tadi.

Anbalagan berkata, sebagai langkah pencegahan, polis bertugas yang diketuai oleh beliau sendiri telah mengiringi kereta yang dinaiki mereka ke Klinik Bayan Baru untuk pemeriksaan.

"Kenderaan mereka diiringi oleh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) polis, anggota trafik dan saya sendiri ke klinik untuk pemeriksaan lanjut terhadap virus Covid-19.

"Mereka kini di bawah pemantauan hospital sebelum diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia," katanya. - Sinar Harian