Powered by Blogger.

Friday, March 20, 2020

Pemecatan Marzuki Yahya Tak Sah, Muhyiddin Tak Ikut Perlembagaan Parti - Tun M

Hasil carian imej untuk tun mahathir muhyiddin
Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad menyuarakan "bantahan terhadap pemberhentian Marzuki Yahya" daripada jawatan setiausaha agung parti itu.

Hal ini dinyatakan dalam surat Dr Mahathir kepada Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin yang dilihat Malaysiakini.

"Pemberhentian Marzuki Yahya daripada jawatan setiausaha agung Bersatu oleh Tan Sri (Muhyiddin Yassin) adalah tidak sah dan wajar diketepikan," katanya.

Terdahulu, Muhyiddin Yassin yang juga perdana menteri telah memecat Marzuki Yahya daripada jawatan setiausaha agung Bersatu.

Muhyiddin dilaporkan memetik Fasal 13.9 perlembagaan parti Bersatu untuk menamatkan perkhidmatan Marzuki di dalam parti itu.

Bagaimanapun, Dr Mahathir dalam surat itu menegaskan Fasal 13.9 Perlembagaan Bersatu memang memperuntukkan kuasa atau tugas melantik setiausaha agung kepada presiden tetapi dengan syarat: "Selepas berunding dengan pengerusi parti."

"Maksud dan aplikasi berunding di dalam konteks ini bukan hanya setakat presiden memaklumkan pengerusi tetapi ianya mesti mencapai perbincangan yang bersungguh-sungguh antara presiden dengan pengerusi parti berkenaan urusan melantik pegawai-pegawai (tertinggi parti) tersebut," katannya.

Menjelaskan lanjut, Dr Mahathir yang dilantik semula sebagai pengerusi Bersatu tanpa bertanding pada Isnin lalu berkata "presiden adalah pada setiap masa material" mesti berunding dengannya parti sebelum apa-apa tindakan dan keputusan pemberhentian boleh dibuat.

"Di dalam situasi pemberhentian Marzuki Yahya tersebut daripada jawatan setiausaha agung bersatu oleh Tan Sri (Muhyiddin Yassin), tiada sebarang rundingan telah dilakukan antara Tan Sri (Muhyiddin) dengan saya selaku pengerusi parti," kata Mahathir lagi.

Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin dilantik sebagai setiausaha agung parti.

Mahathir juga tidak bersetuju dengan pelantikan setiausaha agung Bersatu yang baru yang dilantik Muhyiddin bagi menggantikan Marzuki.

"Saya selaku pengerusi dengan ini memaklumkan bahawa melalui pemakaian fasal-fasal perlembagaan parti sebagaimana dinyatakan di atas, saya tidak bersetuju dengan cadangan Tan Sri (Muhyiddin Yassin) untuk melantik Hamzah Zainudin sebagai setiausaha agung parti yang baru," jelasnya.

Terdahulu, Marzuki yang dihubungi Malaysiakini mengesahkan menerima surat pemecatan itu.

Diminta mengulas sebab pemecatannya, Marzuki sekadar menjawab: "Saya pun tak tahu, tanya dia (Muhyiddin) lah."

Marzuki juga berkata beliau tidak akan membuat rayuan.

Susulan 'Langkah Sheraton' yang menyaksikan kejatuhan kerajaan PH dan Muhyiddin berjaya perdana menteri, hubungan antara pengerusi dan presiden Bersatu itu menjadi renggang menyebabkan wujud dua kem di dalam Bersatu.

Muhyiddin mengetuai sekumpulan ahli parlimen Bersatu, bersama MP yang keluar PKR diketuai oleh Azmin Ali, membentuk kerajaan persekutuan bersama Umno, PAS, GPS dan beberapa yang lain.

Sementara itu, Mahathir mendapat sokongan kumpulan anggota Bersatu yang lain termasuk beberapa ahli parlimen, antaranya Dr Maszlee Malik dan Ketua Pemuda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. - Malaysiakini