Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Airifai Tarawe berkata, dalam kejadian jam 12.15 tengah hari itu, mangsa berusia 62 tahun dipukul dengan satu objek oleh anak perempuannya yang berusia 30 tahun.
"Kejadian bermula dengan pertengkaran antara dua beranak itu di rumah yang terletak di Taman Sri Gombak.
"Suspek yang tiada pekerjaan tetap itu memukul ibunya dengan satu objek menyebabkan kepala mangsa berdarah. Mangsa keluar dari rumah untuk mendapatkan bantuan jiran yang kemudian menghubungi polis," katanya.
Menurutnya, mangsa dibawa ke balai polis sebelum dihantar ke Hospital Selayang untuk rawatan lanjut.
"Punca kejadian disebabkan ibunya menegur sikap anaknya yang selalu keluar rumah pada waktu malam dan balik lewat malam.
"Suspek yang keluar rumah selepas kejadian itu masih dikesan oleh pihak polis untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan," katanya. - Sinar Harian