Najib Mahu Berbaik Semula Dengan Muhyiddin

Dengan kerajaan baru yang diketuai Muhyiddin Yassin, bekas perdana menteri Najib Razak, menyimpan impian agar hubungan keruh di antara mereka berdua dapat dilupakan untuk dibuka lembaran baru.

Bercakap kepada Reuters, Najib berkata beliau memang belum bercakap dengan Muhyiddin sejak ahli parlimen Pagoh itu mengangkat sumpah jawatan pada 1 Mac lalu.

Namun, katanya, beliau berharap apa yang berlaku di antara mereka sebelum ini tidak lagi dikenang-kenang.

Malah Najib melihat bagaimana Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim memulihkan hubungan yang terputus sebelum ini boleh dicontohi untuk beliau dengan Muhyiddin.

"Selain daripada memenjarakan Anwar, membuat kenyataannya yang menghina Anwar selama bertahun-tahun namun ia tidak menghalang mereka daripada berdamai," katanya.

Untuk rekod hubungan Anwar dan Mahathir berantakan ekoran pemecatan yang dibuat pada 1998 yang kemudian membawa kepada munculnya gerakan Reformasi.

Bagaimanapun selepas 20 tahun Mahathir dan Anwar bersetuju untuk berdamai. Menariknya, perdamaian itu membawa lahirnya pakatan pembangkang yang lebuh kuat dan kemudian membawa kepada tersingkirnya Najib dari jawatan perdana menteri.

Sebelum ini Muhyiddin ialah timbalan kepada Najib, sama ada dalam kabinet atau Umno.

Kes mahkamah lebih kondusif

Selepas dua setengah tahun, kerajaan PH akhirnya tumbang dengan tindakan Muhyiddin membawa partinya, Bersatu meninggalkan pakatan tersebut lalu - bersama 11 ahli parlimen PKR diketuai Azmin Ali - mereka mengadakan kerjasama dengan Umno dan PAS.

Untuk rekod Muhyiddin sendiri pernah dipecat daripada Umno kerana mengkritik cara Najib dan parti itu menangani skandal 1MDB.

Dalam temu bual sama, Najib juga memberi sedikit gambaran bahawa beliau turut menyumbang kepada kerjasama Bersatu dan Umno.

Namun kata ahli parlimen Pekan itu pembabitan tersebut bukan secara langsung sebaliknya beliau dirundingi mengenai terma dan syarat perjanjian untuk dipersetujui kedua-dua pihak.

Mengenai kes mahkamah yang sedang dihadapinya, Najib berkata, beliau menjangkakan keadaan akan menjadi lebih kondusif dengan jatuhnya PH baru-baru ini.

"Saya tidak cuba mencadangkan apa-apa, kerana tidak ada kesimpulan kepada perbicaraan itu ... Tapi harap-harap saya akan mendapat perbicaraan yang adil," katanya yang ditemui wartawan di kediamannya di Kuala Lumpur sebelum hadir ke mahkamah.

Melalui temu bual itu Najib turut berkongsi makluamt mengenai kegiatannya dalam media sosial. Ketika ini anak perdana menteri kedua itu menjadi ahli politik Malaysia yang mempunyai pengikut paling ramai.

"Kamu tahu, minggu lepas Facebook saya menarik 20 juta engagements. Biasanya saya ada kira-kira 9.5 juta seminggu," katanya.

Beliau juga memberitahu dari segi 'like', akaun tersebut hanya kurang 6,000 untuk mencecah empat juta.

"Jadi, itulah angka-angkanya, tapi saya tak menguar-uarkannya," kata beliau. - Malaysiakini