Video: Ini Punca Polis Ini Disimbah Asid Di Kuantan

Suspek simbah polis dengan asid kerana dendam rahsianya sebagai suami orang dibocorkan mangsa.

Polis sudah menahan dua lelaki malam tadi berhubung kes seorang sarjan melecur disimbah asid di depan rumahnya di Kuantan, Pahang pada Isnin lalu.

Suspek berusia 41 tahun yang berasal dari Kemaman, Terengganu dipercayai berdendam dengan mangsa yang didakwa membocorkan rahsia mengenai statusnya yang sudah berkeluarga kepada keluarga teman wanitanya.

Turut ditahan seorang lagi lelaki berusia 40 tahun dipercayai pemilik motosikal yang digunakan suspek dalam kejadian.

Kedua-dua mereka direman tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Dalam kejadian Isnin lalu, mangsa, 51 tahun melecur di dada, belakang tengkuk, lengan kiri, pipi kanan, leher dan dahi akibat terkena simbahan asid suspek yang berpura-pura datang menghantar bungkusan hamper. - Malaysiakini