Lokman Adam Dipecat Dari Umno

Lokman Adam, yang merupakan penyokong tegar Najib Abdul Razak, telah dipecat daripada Umno oleh majlis tertinggi parti hari ini.

Perkara itu disahkan oleh dua peserta mesyuarat yang diadakan pada petang tadi.

Sumber yang menghadiri mesyuarat itu berkata peserta tidak dibenarkan bercakap mengenai pemecatan itu secara terbuka kerana setiausaha parti Annuar Musa mesti memberitahu Lokman tentang perkara itu secara bertulis terlebih dahulu.

Bagaimanapun, Ahli Majlis Tertinggi Umno Mohd Puad Zakarshi mengulas perkara itu dalam catatan Facebook kira-kira 30 minit selepas mesyuarat itu selesai.

Pemecatan Lokman dipercayai berkaitan dengan pendedahan rakaman audio yang didakwa menggambarkan percubaan Zahid untuk meyakinkan pemimpin parti bekerjasama dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Dalam satu kenyataan, Lokman mendakwa bahawa dia telah dipecat semasa mesyuarat hari ini melalui "proses mengundi angkat tangan".

Lokman sebelum ini merupakan ahli Majlis Tertinggi Umno yang dipilih dan tidak hadir pada mesyuarat hari ini dengan menyatakan hilang keyakinan terhadap presiden parti.

Beliau berkata beliau akan meneruskan misinya untuk menentang Pakatan Harapan dan "tali barut" di dalam Umno melalui sebuah NGO laskar siber.

"Apabila Najib kembali menjadi presiden Umno, saya akan memohon semula menjadi ahli Umno.

"Apa yang penting, rancangan Zahid untuk memaksa 3.7 juta ahli Umno untuk mengangkat Mahathir menjadi pengerusi Pakatan Nasional telah gagal," katanya dalam kenyataan di Facebook.

Sementara itu, Puad menyifatkan pemecatan Umno sebagai "kurang bijaksana".

Menurutnya, Lokman hari ini dipecat sebagai ahli Umno atas syor Biro Politik dan bukan atas syor Lembaga Disiplin.

"Apa fungsi Lembaga Disiplin?" soal Puad dalam kenyataan di Facebooknya.

Puad turut mempersoalkan kenapa bekas naib presiden Umno Hishammuddin Hussien tidak dikenakan tindakan sama.

"Tidakkah perbuatan beliau mengadakan pertemuan beberapa kali dengan Mahathir tanpa memaklumkan majlis tertinggi dan presiden Umno adalah melanggar disiplin parti.

"Ia juga tidak menghormati institusi presiden. Bukan kerana mahu mempertahankan Lokman tetapi tindakan mestilah adil dan jangan selektif.

"Apa pun saya telah menyuarakan pendirian saya ini dalam majlis tertinggi. Tapi gagal," katanya.

Difahamkan bahawa peraturan parti menetapkan bahawa Majlis Tertinggi boleh memutuskan perkara berkenaan keanggotaan tanpa perlu merujuk kepada jawatankuasa disiplin.

Walaupun majoriti mengundi untuk Lokman dipecat, sejumlah kecil yang lain mengundi untuk sekadar menggantung keahlian Lokman selama dua tahun. - Malaysiakini