Siti Hasmah Beremosi Dakap Tun Mahathir

Tidak lagi menjadi perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad sebentar tadi mendapat dakapan erat dan lama daripada orang penting di belakang beliau selama ini - Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.

Dalam klip video pendek dimuat naik di Facebook ahli parlimen Langkawi itu, Siti Hasmah memeluk suaminya untuk beberapa ketika sambil aksi itu dirakam beberapa orang dekat dengan pasangan tersebut, termasuk anak mereka Marina Mahathir.

Seperti selalu Mahathir dilihat menunjukkan sikap sporting dengan membiarkan dirinya dipeluk Siti Hasmah walaupun sebelum itu beliau baru saja membuat kenyataan mengenai situasi semasa politik negara.

Konflik dalaman itu menyaksikan Muhyiddin Yassin akhirnya dilantik sebagai perdana menteri menggantikan Mahathir.

Aksi itu juga menyentuh perasaan ramai apabila Siti Hasmah kelihatan sebak dan pada satu ketika cuba menyembunyikan wajahnya di belakang Mahathir.

"Jangan malu-malu," kata Siti Hasmah pada awalnya.

Mengiringi hantaran tersebut ialah pesanan ringkas daripada Mahathir: "Terima kasih semua." - Malaysiakini