Rosmah Dikejar Ke Hospital

Isteri bekas perdana menteri Najib Razak, Rosmah Mansor dimasukkan ke sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur semalam bagi menerima rawatan, kata peguamnya.

Peguam Rosmah, Akberdin Abdul Kadir mengesahkan laporan kemasukan Rosmah ke hospital berkenaan ketika dihubungi.

Akberdin merupakan peguam yang mewakili Rosmah dalam perbicaraan kes rasuah yang dihadapi isteri kepada bekas perdana menteri itu.

Beliau mengesahkan bahawa Rosmah akan menerima rawatan untuk beberapa hari.

Semalam, Rosmah gagal hadir pada hari pertama perbicaraan kes rasuah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan peguam beliau menyerahkan salinan laporan kesihatan bertarikh 2 Februari.

Rosmah mengalami sakit belakang dan tengkuk yang serius di mana beliau tidak boleh berdiri dan duduk dalam tempoh lama.