Allyson Danylko, 24, mendakwa hidungnya digigit hingga putus oleh teman lelakinya, Nick Grewal, 30, dalam satu pergaduhan di dalam bilik air di rumahnya.
Pada mulanya mereka dilaporkan bergaduh di sebuah kelab malam pada malam sambutan Tahun Baru 2020 sebelum insiden bertukar serius apabila mereka pulang ke rumah.
Danylko berkata, kejadian itu berlaku selepas Grewal cemburu mengenai rancangannya untuk bercuti ke Costa Rica tanpa dirinya.
Danylko juga mendakwa sering dikasari Grewal sepanjang perhubungan mereka dan mengakui menyesal kerana kerana terus menerimanya sebelum ini.
"Dia tidak mahu saya turut serta dalam percutian itu. Dia bertindak melampau apabila menggigit hidung saya hingga putus.
"Hidung saya berdarah tetapi saya berjaya melepaskan diri dan mendapatkan bantuan daripada jiran. Polis datang dan akhirnya saya dibawa menaiki ambulans," katanya.
Danylko percaya hidungnya ditelan oleh Grewal atau dibuang ke dalam tandas.
Danylko dijangka menjalani pembedahan rekonstruktif untuk membaiki hidungnya dengan menggunakan kulit di bahagian telinganya pada Mac hadapan.
Dalam pada itu, Grewal kini ditahan pihak polis bagi membantu siasatan dan akan didakwa di mahkamah pada 28 Januari ini. - Sinar Harian