Powered by Blogger.

Monday, January 20, 2020

Nama Gula Yang Disembunyikan Dalam Produk Makanan Agar Kita Keliru

JUMLAH kandungan gula tambahan yang terdapat dalam makanan yang masuk ke tubuh kita amatlah penting untuk diketahui.

Kebiasaannya, kita alpa atau selalu memandang remeh tentang kadar pengambilan gula tambahan dalam kehidupan seharian.

Tahukah anda, satu gram gula hanya mengandungi empat kalori sahaja?

Ini bermaksud, satu sudu teh gula iaitu bersamaan lima gram hanya mengandungi 20 kalori.

Namun, berapa gram gula agaknya dalam segelas minuman manis, kek, kuih, coklat atau sos?

Menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia, disarankan kalori daripada gula tambahan dihadkan kepada 10 peratus keperluan dalam seharian bagi individu yang sihat.

Pun demikian, bagi individu yang mempunyai masalah kesihatan, pastinya harus lebih rendah, bukan?

Sedarkah semasa pemprosesan makanan dilakukan, gula akan ditambah dalam produk itu bagi menambah rasa, warna, tekstur, pengawet dan lain-lain?

Waspada dengan kandungan gula tambahan itu! Kandungan gula boleh diperhatikan pada senarai ramuan label makanan yang dipaparkan.

Ketahuilah bahawa jika ramuan pertama adalah gula, bermaksud ramuan paling banyak digunakan dalam produk tersebut adalah gula.

Malangnya, pengeluar makanan sering menyembunyikan jumlah gula dalam produk mereka dengan menyenaraikan 'gula' di bawah beberapa nama yang berlainan seperti sukrosa, karamel, sirap jagung, maltose dan banyak lagi.

Jadi, perhatikan juga nama lain bagi 'gula' yang terdapat dalam sesuatu produk makanan atau minuman.

ANEKDOT

Cara mudah untuk mengelakkan gula tambahan :

1. Pilih air kosong berbanding minuman manis.

2. Hadkan kepada satu sudu teh sahaja untuk setiap cawan.

3. Hadkan minuman manis (sehari sekali sahaja).

4. Gantikan makanan manis dengan makanan yang lebih sihat seperti buah.

5. Baca label dan elak produk yang menyenaraikan gula di bahagian awal senarai ramuan.

Sumber: @nutritionistkkm