Bagaimanapun satu kenyataan dimuat naik di Facebook Public Health Malaysia menafikan dakwaan tersebut.
Menurutnya, dua PPKP itu telah melakukan Active Case Detection (ACD) di kawasan tersebut kerana menerima laporan dua kes malaria di sesebuah lokaliti.
"Mereka pergi dari rumah untuk mengesan mana-mana penduduk yang mungkin telah dijangkiti virus maut itu tetapi masih belum mendapat rawatan.
"Berbanding nyamuk aedes yang hanya terbang kira-kira 200 meter radius, nyamuk anopheles boleh terbang lebih jauh sekitar 2 kilometer (km). Oleh itu, aktiviti ACD ini perlu dilakukan sehingga 2km radius dari kes.
"Malang buat dua anggota ini apabila mereka bukan sahaja tidak diberi kerjasama malah gambar mereka telah diambil dan diviralkan (ditularkan) sebagai penjenayah yang cuba melakukan penipuan," katanya.
Bukan itu sahaja, penularan mendakwa anggota ini adalah penipu dengan hanya menyasarkan rumah bangsa-bangsa tertentu membuatkan imej anggotanya tercalar.
"Tugas penjawat awam telah diganggu, provokasi telah dilakukan. Gambar dan berita palsu mengenai dua anggota ini telah tersebar luas di media sosial hingga reputasi, imej dan identiti mereka telah tercalar selain motivasi dan kesihatan mental mereka mungkin telah terjejas.
"Justeru, dengan kesalahan dan implikasi ini, sudah cukup untuk pihak pejabat kesihatan daerah (PKD) untuk mengambil tindakan undang undang terhadap penyebar dan memastikan imej anggota tersebut dipulihkan," jelasnya.
Dalam pada itu, pihaknya mengucapkan terima kasih kepada anggotanya dikenali sebagai Nizam dan Seelan kerana masih tersenyum ketika memberi pendidikan kesihatan kepada individu tersebut walaupun provokasi telah dilakukan. - Sinar Harian