Campak Daging Babi Di Pekarangan Masjid, Polis Buru Individu Disyaki

KUCHING: Polis meminta bantuan orang ramai menyalurkan maklumat bagi mengesan individu disyaki mencampakkan daging khinzir ke pekarangan Masjid Taman Satria Jaya, BDC, di sini, semalam.

Daging dibungkus dengan plastik itu ditemui pekerja pembersihan masjid berkenaan kira-kira jam 10 pagi.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Awang Din Awang Gani, berkata siasatan dijalankan di lokasi kejadian sebaik saja laporan diterima berhubung penemuan itu.

Beliau berkata, bungkusan berisi daging itu juga sudah dihantar ke Makmal Diagnosa Veterinar negeri, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak.

“Bungkusan itu ditemui di kawasan berumput di pekarangan masjid berkenaan oleh pekerja am masjid yang menjalankan kerja pembersihan rumput.

“Pemeriksaan Jabatan Perkhidmatan Veterinar mengesahkan bungkusan itu mengandungi serpihan daging haiwan, iaitu daging khinzir,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai yang ada maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching melalui talian 082-244444 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya. - Berita Harian Online