4 Remaja Peras Ugut RM5, Direman 2 Hari


Gara-gara membuli dan memeras ugut sebanyak RM5 terhadap seorang pelajar sekolah agama, empat remaja berumur antara 13 hingga 15 tahun direman dua hari bermula hari ini.

Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintendan Ganti Jimmy berkata, perintah itu dikeluarkan oleh Majistret, Izuddin Mohd Shukri selepas pihaknya berjaya menahan kesemua suspek petang semalam.

"Kejadian itu dikatakan berlaku pada 21 November tahun lepas, namun selepas video berkenaan tular semalam, ahli keluarga mangsa kemudiannya membuat laporan polis pada jam 1.30 tengah hari.

"Hasil tindakan pantas, pihak kami berjaya menahan keempat-empat suspek di sekitar jajahan ini antara jam 2 petang hingga 5 petang semalam," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Machang, di sini hari ini.

Beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 384 dan 323 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan dan mendatangkan kecederaan kepada mangsa.

Semalam, tular di laman sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp berkaitan sebuah video seorang remaja meminta wang daripada seorang pelajar sebelum mangsa memberinya wang sebanyak RM5, namun kerana wang yang diberikan tidak mencukupi, remaja itu kemudiannya bertindak agresif dengan menyepak mangsa sebelum pelajar itu dihalau pulang ke rumah. - Bernama