3 Lelaki Diburu, Pukul Remaja Kerana Tidak Pernah Lihat

MERSING: Seorang lelaki berhadapan detik cemas apabila diugut bunuh oleh tiga orang lelaki serta seorang wanita berusia lingkungan 20 tahun dalam kejadian kira-kira jam 8 malam, Isnin lalu.

Zubaidah Jumaat, 27, berkata, ketika kejadian, adiknya Sukeri, 24, pergi ke Kampung Sri Lumpur dekat sini, kerana mahu melawat ibu angkatnya sebelum dipanggil oleh seorang daripada tiga lelaki berkenaan yang berada di rumah sebelah.

Katanya, sebaik sampai di rumah jiran ibu angkatnya itu, adiknya secara tiba-tiba dipaksa menanggalkan baju dan seluar tanpa sebarang penjelasan kenapa perlu berbuat demikian.

“Adik juga dipaksa masuk ke dalam bilik mandi di rumah itu sebelum seorang lelaki berusia lingkungan 24 tahun dikenali sebagai Orik dibantu seorang lelaki bernama Jijoy, 25 mencurahkan air panas ke badannya.

“Tidak habis dengan penyeksaan itu, adik saya turut dibelasah oleh mereka berdua sebelum sepasang kekasih yang dikenali sebagai Mi Botak dan Icha berusia lingkungan 20-an turut serta dalam kejadian itu,” katanya ketika menghubungi NSTP, hari ini.

Menurut Zubaidah, semua itu berlaku hanya gara-gara adiknya yang tinggal bersama keluarga di Kampung Pengkalan Batu tidak pernah dilihat datang ke Kampung Sri Lumpur itu.

“Selepas membelasah adik saya dipercayai menggunakan objek keras, dia kemudiannya dipaksa menunggang motosikal miliknya ke Sungai Derhaka sambil salah seorang lelaki itu membawa sebilah parang serta mengugut untuk membunuhnya.

“Mujur adik saya cerdik, sebaik sampai di sungai dan lelaki itu turun dari motosikal, dia terus memecut balik ke kampung sebelum dirujuk ke Hospital Mersing untuk rawatan.

Zubaidah berkata, akibat kejadian itu, adiknya yang juga anak ke lima daripada 14 orang adik beradik patah jari telunjuk kanan selain melecur sebahagian badan.

“Laporan polis sudah pun dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mersing pada hari Rabu iaitu selepas dua hari adik dirawat di hospital,” katanya. - Berita Harian Online