Video Enam Remaja Tercampak Keluar Dari Permainan 'Crazy Wave'


LOPBURI: Suasana seronok di taman tema bertukar mimpi ngeri, Itu yang dapat yang digambarkan apabila enam remaja berusia 12 hingga 15 tahun tercampak dari sebuah permainan lambungan yang dinamakan 'Crazy Wave', pada Ahad lalu.

Media tempatan melaporkan, empat daripada mereka yang terhumban keluar daripada tempat duduk permainan tersebut mengalami kecederaan dan telah digegaskan ke hospital berdekatan di wilayah Lopburi.

Menurut pemilik taman tema, Sornchai Jantarachota, pengendali permainan itu gagal memastikan tali pinggang keselamatan dipasang dengan betul, dan ketika itu pekerja yang lebih berpengalaman telah pergi ke tandas dan tempatnya diganti oleh seorang pekerja baharu.

Pekerja baharu itu telah memulakan permainan tersebut tanpa memeriksa pemasangan tali pinggang keselamatan pada kumpulan remaja yang menaikinya.

Akibat kejadian tersebut, Sirirat Potima,13, patah kaki dan masih dirawat di Hospital King Narai manakala kanak-kanak lain hanya mengalami kecederaan ringan dan dibenarkan pulang.

Rakaman video yang tular dalam kalangan warganet Thailand menunjukkan enam remaja yang duduk di satu bahagian tempat duduk tercampak keluar apabila permainan itu mula berputar laju dan berada di ketinggian kira-kira enam meter dari tanah.

Pihak polis menyatakan bahawa mereka akan menyiasat dan mengenakan tindakan undang-undang kepada mereka yang bertanggungjawab.

Malah, mereka juga akan memeriksa lesen taman tema tersebut untuk memastikan bahawa ia beroperasi secara sah. - Astro AWANI