Saya Dah Sunat, Jangan Halau Dari Saf Pertama, Kanak-Kanak Luah Isi Hati Kepada AJK Surau


Tular sepucuk surat daripada seorang kanak-kanak meluahkan rasa ketidakpuasan dihalau dari berada di saf pertama ketika menunaikan solat di sebuah surau di sini.

Kanak-kanak bernama Nadzrul Zarfan Sharul Azly itu berani meluahkan isi hatinya kepada pengerusi surau dah ahli jawatankuasa (AJK), namun tidak dinyatakan lokasinya.

Menerusi surat tertera logo sekolah dari Maktab Rendah Sains Mara itu, Nadzrul Zarfan mempersoalkan tindakan pengerusi surau memintanya solat di saf ketiga sedangkan dirinya perlu berada di saf hadapan.

"Assalamualaikum tok imam, tok pengerusi surau dan semua AJK surau, saya ingin bertanya, adakah hadis Rasulullah SAW yang menyatakan budak-budak kena duduk belakang ketika solat? Mesti tak ada kan. Kenapa semalam tok pengerusi halau saya dari saf pertama sampai saya kena duduk kat saf ketiga.

"Saya sebenarnya sudah berkhatan. Tok pengerusi tak bolehlah halau saya dari saf pertama dan lagi satu ya, saya nak tanyalah, harap tok pengerusi jangan marah. Kenapa kalau ada budak kecil duduk dekat saf pertama tok pengerusi atau orang lain akan halau budak itu?

"Sebelum nak halau budak ke atau orang lain, tanya dulu sama ada sudah berkhatan atau belum. Walaupun saya masih budak, saya solat khusyuk bukan semua budak-budak suka main waktu solat.

"Sewaktu saya di Makkah dan Madinah, saya tidak pernah dihalau untuk solat di belakang. Saya pernah solat di hadapan Kaabah dan tidak ada sesiapa yang halau saya. Saya tidak setuju dengan budak kecil kena duduk belakang sewaktu solat. Budak kecil juga ada hak untuk duduk depan," luahnya.

Surat dimuat naik di Twitter @hafizisaari mendapat perhatian netizen dan kini hantaran itu lebih 17,700 ciapan dan 12,600 tanda suka.

Surat ditulis Nadzrul Zarfan tular kembali.

Rata-rata netizen membaca surat itu turut menyokong tindakan Nadzrul Zarfan dan menyifatkan kanak-kanak itu seorang yang bijak dan berani bersuara.

@mhmmdnazri, "Sesungguhnya saya berpihak kat budak tu, saya pun pernah kena halau macam itu masa kecil."

"Bagus budak ni bersuara, saya dah besar ni pun tak berani lagi nak bersuara," ciap @roiKiz pula.

Kata @emiliolazario, "Saya pun tak faham kenapa ada keperluan asingkan kanak-kanak sedangkan laungan mengimarahkan surau dan masjid selalu kedengaran. Kalau dari kecil sudah diasingkan memang mereka akan menjauhi surau atau masjid apabila dewasa."

Sementara itu, menerusi Twitter @nazira_rahim, mengesahkan surat itu adalah milik anaknya, namun ia ditulis pada 2017 dan kembali tular.

"Terima kasih di atas sokongan semua. Surat ini ditulis oleh anak saya, Nadzrul Zarfan pada tahun 2017 semasa umur dia 8 tahun.

"Surat ini telah diserahkan kepada pihak masjid yang berkenaan pada 2017 dan selepas kejadian itu, dia tidak lagi dihalau untuk solat di saf belakang," ciapnya. - Sinar Harian