Lelaki Berusia 28 Tahun Cabul Rakan Sekerja Wanita Berusia 39 Tahun




KUALA TERENGGANU: Seorang kakitangan kerajaan di negeri ini ditahan polis semalam, selepas didakwa mencabul seorang rakan sekerjanya ketika wanita itu mahu menunaikan solat.

Lelaki berusia 28 tahun itu ditahan kira-kira jam 3.40 petang di tepi jalan di hadapan stesen teksi dekat Jalan Masjid Abidin, di sini.

Mengikut sumber, mangsa berusia 39 tahun mendakwa sering menjadi mangsa gangguan seksual suspek di pejabat sejak tiga tahun lalu dengan kejadian terbaru berlaku pada 26 November lalu.

Kata sumber, pada hari kejadian, mangsa mahu menunaikan solat Asar di sebuah bilik di pejabat mereka dan menyedari diekori suspek dari belakang.

“Belum pun sempat mangsa mengunci tombol pintu, suspek bertindak menerjah masuk ke dalam bilik berkenaan lalu mengunci pintu sebelum mangsa mengarahkan suspek keluar bagi mengelak fitnah, selain bimbang diapa-apakan.

“Suspek bukan saja tidak menghiraukan arahan mangsa, sebaliknya bertindak menutup lampu sebelum meraba mangsa menyebabkan mangsa menjerit.

“Bimbang perbuatan tidak bermoral terbongkar, suspek melarikan diri dan difahamkan, ketika kejadian, pejabat berkenaan kosong berikutan ramai kakitangan bercuti, selain ada yang bertugas di luar,” katanya.

Menurut sumber lagi, suspek juga dikatakan pernah mengajak wanita itu melakukan seks, sering sengaja menyentuh tangan mangsa, selain mengunci pintu bilik pantri di pejabat untuk berdua-duaan dengan mangsa sehingga wanita itu terpaksa menghunus pisau bagi mempertahankan diri.

“Tidak tahan dengan tekanan berikutan kejadian sehingga terpaksa bercuti sakit, mangsa nekad membuat laporan polis kelmarin,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Razmi Mohd Gunnos, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian dan penahanan suspek.

Beliau berkata, lelaki itu kini ditahan reman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul. - Berita Harian Online